Kes rogol: Polis rekod keterangan Ebit, Mondy

Ayob Khan dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSPT di Pulapol Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ayob Khan dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSPT di Pulapol Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merekodkan keterangan 10 individu bagi siasatan kes rogol membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keterangan itu termasuklah daripada Ebit Lew, pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo serta aktivis, Ariz Ramli atau Caprice.

"Ada lagi beberapa individu akan dipanggil.

"Kita dalam proses menyiapkan kertas siasatan dan ada perkara teknikal sedang ditunggu iaitu laporan dari forensik," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Tambahnya, kertas siasatan ini akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara selepas ia dilengkapkan.

Pada 21 September lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Polis turut merampas telefon milik Mondy untuk ketelusan siasatan.

Dalam kes berlainan, mengenai siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee berkaitan isu tafsir Al-Quran, Ayob Khan berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan untuk diserah kepada Jabatan Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah merekod keterangan beliau (Howard) pada 26 September di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

"Ada dua laporan diterima polis membabitkan kes ini dan telah disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.