Belanjawan 2024: Perlu peruntukan besar martabat bahasa Melayu - ABIM

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu meningkatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu dengan menyalurkan peruntukan lebih besar bagi merangsang program penyelidikan serta pembangunan melalui pembentangan Belanjawan 2024.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, peruntukan besar boleh digunakan bagi pelaksanaan program penterjemahan yang lebih agresif membabitkan istilah semasa serta penerbitan bahan ilmiah, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

"Turut dapat dilaksanakan pelbagai program wacana serta pemahaman karya agung dalam Bahasa Melayu untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda berdasarkan kepada warisan budaya negara ini,

"Hasil daripada program penyelidikan dan pembangunan juga boleh dikembangkan kepada usaha jangka panjang untuk menerbitkan kamus bahasa Melayu antarabangsa meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei dan rantau Nusantara," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Perdana Menteri yang juga menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, Jumaat ini.

Dalam pada itu Muhammad Faisal berkata, Belanjawan 2024 untuk memperkasa Bahasa Melayu juga perlu meliputi usaha 'membumikan' Bahasa Kebangsaan sehingga ke akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ujar beliau, ia antaranya membiayai program serta inisiatif memperkasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah termasuk pembiayaan penerbitan serta penyebaran majalah, novel serta buku ilmiah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.

"Perlu untuk agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diperkasakan peranannya sehingga dapat mempengaruhi pelaksanaan dasar yang menyentuh kedudukan serta Bahasa Melayu sesuai dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perkara 152.

Artikel Berkaitan:

"Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu diperkasa menerusi jalur industri kreatif, membabitkan syarikat korporat serta pempengaruh dalam aktiviti kebahasaan bagi membolehkan penghasilan bahan kandungan dapat ditingkatkan.

"ABIM juga menegaskan bahawa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu baku dalam penghasilan bahan kandungan, penyiaran dan pengiklanan perlu dilaksanakan selain pelbagai inisiatif serta galakan lain," katanya.