Afdlin Shauki elak kisah klise

Afdlin bersama barisan pelakon utama Harimau Malaya: The Untold Journey. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Afdlin bersama barisan pelakon utama Harimau Malaya: The Untold Journey. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

NASKHAH berkaitan bola sepak bukan karya baharu yang diangkat ke layar perak.

Namun ia tidak menjadi penghalang buat pengarah dan pelakon popular, Datuk Afdlin Shauki untuk menggarap sebuah filem yang berkisarkan pasukan bola sepak kebangsaan iaitu Harimau Malaya: The Untold Journey.

Mengangkat perspektif yang belum pernah dikupas dalam mana-mana penghasilan karya membabitkan Harimau Malaya, 4ward Pictures Sdn. Bhd itu diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.

"Filem ini nanti akan memasukkan empat perspektif iaitu melibatkan dari pihak pengurusan; penyokong Harimau Malaya, Ultras; jurulatih Kim Pan Gon dan para pemain.

"Semua kisah yang dimasukkan ini kita telah temu bual mereka untuk dapatkan kisah menarik dan kisah itu kita masukkan dalam skrip,” jelas Afdlin yang turut bertindak selaku penulis skrip.

Afdlin Shauki - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Afdlin Shauki - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Afdlin berkata demikian pada majlis pelancaran Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel di Petaling Jaya, pada Selasa.

Tidak akan menghasilkan sebuah filem 'selamat', Afdlin berkata, beliau akan memaparkan banyak realiti yang berlaku dalam arena bola sepak termasuk caci-maki yang diterima FAM sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, Afdlin juga bersedia untuk membentangkan hujah-hujahnya sekiranya perlu berdepan Lembaga Penapisan Filem (LPF) kelak.

"Kita akan hasilkan filem ini secara jujur, apa yang boleh buat. Kalau LPF kata nak potong, saya sedia berhujah untuk mempertahankan karya ini.

"Setakat ini saya tidak risau apa-apa lagi, tetapi saya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Saya cuba untuk hasilkan filem ini tahap yang paling baik kerana saya mahu beri penonton sesuatu yang berbeza.

"Jadi filem ini nanti tidak akan memaparkan sebuah filem bola yang klise, sebaliknya ada banyak konflik lain yang menjadi kelainan," ujarnya yang sudah mendapat 'restu' daripada FAM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (depan, enam dari kiri) dan Pengarah Filem Harimau Malaya The Untold Journey Datuk Afdlin Shauki (depan, tengah) bergambar bersama pemain skuad Harimau Malaya serta barisan pelakon pada Majlis Pelancaran Filem Harimau Malaya The Untold Story di sebuah hotel pada Selasa. Turut hadir Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam dan Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Negara, Kim Pan Gon. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Tambah Afdlin apa yang lebih penting, filem ini nanti akan menyuntik semangat patriotisme terhadap pasukan bola sepak tanah air.

“Sebenarnya kita semua adalah Harimau Malaya, tidak kira atas padang atau luar padang. Semangat untuk tidak mengaku kalah dan memperbaiki diri kita menjadikan kita Harimau Malaya,” katanya.

Harimau Malaya: The Untold Journey dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Meerqeen, Fazura, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.