Kementerian Luar sahkan 5 rakyat Malaysia berada di Tebing Barat

Asap memenuhi ruang udara berikutan serangan Israel di kejiranan Al-Ramal di Bandar Gaza, pada Rabu. - Foto EPA
Asap memenuhi ruang udara berikutan serangan Israel di kejiranan Al-Ramal di Bandar Gaza, pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan terdapat lima rakyat Malaysia membabitkan seorang wanita dewasa bersama ibu dan tiga anak berada di kawasan konflik, Tebing Barat.

KLN memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan sentiasa berhubung dengan mereka.

"Kementerian Luar Negeri menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara dan kenalan yang masih berada di kawasan konflik boleh berhubung dengan kementerian bagi membolehkan bantuan dihulur sekiranya perlu," kata kementerian itu menerusi kenyataan pada Rabu.

Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan boleh dihubungi menerusi talian telefon 962 65902400/ 962 785902400 (selepas 3.30 petang waktu tempatan) dan emel: mwamman@kln.gov.my.

Selain itu, rakyat boleh menghubungi pegawai bertugas Bahagian Asia Barat Wisma Putra di talian 010 2884116 (Faizal) dan 01114901787 (Hakim) selepas waktu pejabat atau 03-88874570 serta emel: dutyofficer@kln.gov.my

Dalam pada itu, kementerian luar negeri turut menasihati pihak yang berhasrat untuk membuat perjalanan ke kawasan bergolak itu menangguhkan perancangan mereka memandangkan keadaan keselamatan masih meruncing.

"Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan merujuk perancangan mereka kepada kementerian ini terlebih dahulu," katanya.

Dalam perkembangan sama, KLN memaklumkan pihaknya dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Artikel Berkaitan:

Orang awam, agensi dan pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8 atau menerusi akaun Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin iaitu CIMB Islamic Bank Berhad dan nombor akaun: 86-0030248-9.

KLN menegaskan masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan.

Rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan," katanya.

Sabtu lalu Hamas yang mengawal Semenanjung Gaza telah melancarkan serangan mengejut ke atas Israel yang setakat ini telah membunuh lebih 700 orang Israel.

Sebagai tindak balas Israel telah melakukan serangan udara berterusan di Semenanjung Gaza.

Pegawai di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 413 kematian warga Palestin.