Laluan tikus ke CIQ, BSI diarah tutup, kerajaan sedia bas henti-henti

Onn Hafiz (tengah) pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bilik Mesyuarat Gambir, BSI pada Rabu.
Onn Hafiz (tengah) pada sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bilik Mesyuarat Gambir, BSI pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan mengarahkan laluan tikus yang digunakan pejalan kaki untuk memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor di sini ditutup.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor.

Menurutnya, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan akan menyediakan bas henti-henti (shuttle bus) bagi pengguna jalan kaki yang tinggal di kawasan sekitar CIQ BSI.

"Jalan itu ditutup atas faktor keselamatan kerana berlaku kemalangan jalan raya di situ sebelum ini. Kerajaan bimbang akan ada kemalangan jiwa dan juga isu kebolosan akan terus berlaku jika tiada tindakan diambil.

"Lorong tikus (laluan pintas) untuk masuk ke BSI itu pun sedang dikaji. Sememangnya ada cadangan untuk buat 'shutle bus' bagi jangka masa pendek untuk mudahkan mereka yang berjalan kaki dari Stulang dan sebagainya ke CIQ," ujarnya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bilik Mesyuarat Gambir, BSI di sini pada Rabu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof secara dalam talian.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan laluan tikus itu merujuk kepada laluan pintas yang digunakan pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki menuju ke CIQ BSI, bermula dari arah Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Stulang yang merentasi laluan di celah beberapa bangunan komersial sejauh 1.5 kilometer.

Laluan tikus dilaporkan dapat menjimatkan masa pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki ke CIQ BSI selain menyuraikan lalu lintas dari pusat bandar, yang kini sesak teruk akibat kerja-kerja pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) yang sedang dijalankan.

Mengulas mengenai Belanjawan 2024, Onn Hafiz yakin ada berita baik akan diumumkan untuk rakyat Johor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

“Segala permohonan yang diperlukan oleh Johor telah dibawa kepada YAB Perdana Menteri, kita akan tunggu pengumuman itu.

“Saya yakin ada berita baik untuk negeri Johor,” katanya.