Rekod kebangsaan olahraga masih lagi relevan?

Azeem (tengah) cemerlang di balapan apabila menghadiahkan pingat gangsa dalam acara riben biru pada Sukan Asia Hangzhou 2022. - Foto AFP (Gambar kecil: Pekan)
Azeem (tengah) cemerlang di balapan apabila menghadiahkan pingat gangsa dalam acara riben biru pada Sukan Asia Hangzhou 2022. - Foto AFP (Gambar kecil: Pekan)
A
A
A

ALANGKAH terkejutnya dengan hasil penemuan ini apabila hanya enam daripada lebih 40 acara sukan olahraga khususnya rekod kebangsaan masa ini jika berjaya dipecahkan masih boleh dianggap relevan untuk memenangi pingat khususnya di Sukan Asia pada masa depan.

Jika dipecahkan sekalipun, ia sekadar berpeluang untuk menang pingat gangsa manakala dua acara lain hanya berpotensi untuk menang sekurang-kurangnya pingat perak.

Selebihnya 38 acara atau lebih pula umpama bermimpi di siang hari untuk kita menang pingat sekalipun jika atlet dapat memecahkan rekod kebangsaan dalam masa terdekat.

Sudah terlalu lapuk atau terlalu usangkah rekod kebangsaan kita? Mengapa jurang ini sudah semakin jauh?

Atau prestasi kebanyakan atlet olahraga negara kita kini sekadar biasa-biasa saja.

Apakah yang perlu kita lakukan sekarang? Kita perlu ada pelan tindakan yang komprehensif untuk memacu semula prestasi atlet olahraga untuk menghambat catatan masa yang makin mengorak jauh ke hadapan.

Jangan sampai ia makin sukar dikejar dan lenyap berkurun-kurun hingga berabad lamanya.

Ini hakikat yang perlu kita telan sekarang, kita sudah tidak boleh lagi hanya melihat keupayaan atau sasaran atlet kita untuk sekadar memecahkan rekod kebangsaan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Jika berupaya sekalipun, peluang untuk meraih pingat di temasya sukan paling tinggi di benua Asia ini iaitu pingat gangsa hanya akan jadi sekadar cerita dongeng.

Saya kongsikan analisis perbandingan saya ini yang hanya bersandarkan kepada satu domain sahaja iaitu, perbandingan antara pencapaian pingat dan catatan masa dengan mengambil ‘sample’ di Sukan Asia Hangzhou 2022 ini dengan catatan rekod kebangsaan terkini.

Jika sekalipun rekod kebangsaan berjaya diperbaiki selepas ini, persoalannya apakah catatan itu masih relevan untuk memenangi sebarang pingat di temasya Sukan Asia pada masa depan?

Di Hangzhou sebanyak 23 acara olahraga untuk lelaki dipertandingkan, yang mana penanda aras kita sudah pastilah kepada keupayaan memecahkan rekod kebangsaan sebagai suatu rangsangan untuk atlet negara merapatkan jurang atau berpeluang memenangi pingat di temasya ini.

Namun masih terlalu banyak rekod kebangsaan masih gagal dipecahkan hingga kini.

Malah kalau berjaya dipecahkan sekalipun catatan masa berasaskan kepada catatan itu sudah tidak menjanjikan apa-apa lagi kepada atlet kita khususnya di Sukan Asia.

Ketika ini terdapat 10 rekod kebangsaan yang sudah berkurun-kurun lamanya yang masih belum dapat dipecahkan dan berusia sekitar antara 10 hingga 33 tahun, antaranya rekod oleh B Rajkumar acara 800m (33 tahun), kuartet 4 x 400m (32 tahun), M Ramachandran, 5000 & 10000m (29 tahun), Yazid Imran, rejam lembing (28 tahun), Narinder Singh, 20km jalan kaki (26 tahun), S Nainasagoram, 3000m berhalangan (25 tahun), Malek Tobias, decathlon (20 tahun), Shahdan Jamaludin, 400m lompat pagar (18 tahun) dan V Mahendran, 1500m (16 tahun).

Malangnya analisis juga menunjukkan rekod kebangsaan yang berusia begitu lama itu jika dapat dipecahkan atlet olahraga negara sekalipun sebenarnya masih tidak berupaya untuk mereka memenangi pingat gangsa apatah lagi perak atau emas.

Kecuali jika terdapat atlet negara yang mampu memecahkan rekod kebangsaan acara 800m catatan B Rajkumar dengan masa 1:47.37s, atlet tersebut berpeluang memenangi pingat emas di Sukan Asia.

Ini kerana catatan itu mampu mengatasi pencapaian pemenang pingat emas Hangzhou 2022 atlet Arab Saudi, Essa Alis Kzwani (1:48.05s).

Satu lagi rekod kebangsaan jika mampu dipecahkan atlet negara yang mungkin boleh memenangi pingat gangsa adalah catatan Nauraj Singh dalam acara lompat tinggi (2.30m) yang mana pingat gangsa di Hangzhou milik atlet Jepun, Tomohiro Shinno (2.29m).

Kita bernasib baik mendapat satu gangsa menerusi pelari pecut, Muhammad Azeem Fahmi dengan catatan 10.11s kerana rekod kebangsaan catatannya setahun lalu dengan 10.09s sebelum ini memang layak untuk memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou.

Analisis perbandingan bagi acara olahraga wanita terhadap 23 acara wanita yang dipertandingkan di Hangzhou juga mendapati terdapat 13 rekod kebangsaan yang sudah begitu lama dan belum dapat dipecahkan berusia antara 11 hingga 37 tahun.

Antaranya Josephine Mary, 800m (37 tahun), P Jayanthi, 1500m dan 10000m (30 tahun), Yuan Yufang, 5000m (26 tahun), G Shanti, 200m (25 tahun), Yuan Yufang, marathon (23 tahun), kuartet 4 x 400m (20 tahun), Moh Siew Wei, 110m lompat pagar (19 tahun), Yuan Yufang, 20km jalan kaki (19 tahun), Noraseel Khalid, 400m lompat pagar (17 tahun), Roslinda Samsu, lompat bergalah (17 tahun), Melinder Kaur, 3000m lari berhalangan (13 tahun) dan Noor Amira Nafiah, lompat kijang (11 tahun).

Terdapat tiga acara olahraga sekiranya rekod kebangsaan dapat diperbaiki, catatan itu berupaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa jika bersandarkan kepada pencapaian atlet wanita di Hangzhou.

Ianya menerusi acara 200m rekod kebangsaan milik G Shanti iaitu 23.37s kerana jika berjaya dipecahkan boleh mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Edidiong Odiong dari Bahrain dengan masa 23.48s.

Begitu juga menerusi acara lompat bergalah rekod kebangsaan Roslinda Samsu dengan ketinggian 4.40m jika dapat dipecahkan yang mana catatan pemenang pingat gangsa di Hangzhou oleh Niu Chunge dari China adalah 4.30m.

Satu lagi acara yang berupaya untuk mendapat pingat gangsa adalah lompat kijang jika rekod kebangsaan Noor Amira Nafiah, 13.90m jika berjaya dipecahkan akan mengatasi pencapaian pingat gangsa oleh Marimoko Morimoto dari Jepun dengan 13.78m.

Kita cukup bernasib baik apabila meriah dua pingat gangsa menerusi acara 400m daripada Shereen Samson Vellabouy dengan catatan 52.58s biarpun perlahan sedikit daripada rekod kebangsaannya lima bulan lalu manakala kuartet 4 x 100m negara mendapat tuah memenangi gangsa selepas kuartet Bahrain dibatalkan.

Persoalannya, apakah rekod kebangsaan olahraga kita masih lagi relevan atau sudah lapuk dan tidak lagi boleh menjadi penanda aras ‘benchmark’ kepada atlet negara.

Selagi atlet kita tidak mempunyai keupayaan untuk memecahkan rekod kebangsaan yang sudah berkurun lamanya tetapi pada waktu yang sama penanda aras untuk memenangi pingat di Sukan Asia sudah semakin tinggi dan menjauh tanpa kita sedari.

Sedarlah, pingat gangsa dan perak pun semakin sukar untuk kita gapai apatah lagi pingat emas yang semakin kabur dari pandangan.

* Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli