X

Kindly register in order to view this article
!

Ubi muda Manchester United kena konsisten

Matic percaya The Red Devils mampu meraih lebih banyak kemenangan sekiranya pemain muda Manchester United kekal konsisten.
A
A

TONGGAK Manchester United, Nemanja Matic menggesa pemain muda The Red Devils tampil lebih konsisten seterusnya membuktikan kualiti masing-masing semasa menyarung jersi kesebelasan utama skuad itu.

Menurut Matic, paling penting pemain-pemain skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu seharusnya konsisten ketika menentang kelab gergasi atau kecil Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Sukar untuk saya jelaskan tapi saya akui skuad Manchester United kali ini kebanyakan dibarisi para pemain muda.

“Ketika kami beraksi pada perlawanan berintensi tinggi seperti menentang Liverpool, Chelsea, Manchester City, Tottenham, saya dapati para pemain muda United tampil lebih konsisten tapi apabila menentang kelab kecil sebaliknya berlaku," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Gergasi Inggeris itu sebelum ini mempamerkan prestasi konsisten apabila menjinakkan skuad kendalian Jose Mourinho, Tottenham Hotspur dan Manchester City bimbingan Pep Guardiola pada aksi derbi setempat.

Bagaimanapun, anak buah Solskjaer diikat kelab kecil seperti Bournemouth, Sheffield United, Aston Villa dan Everton pada tujuh perlawanan liga terakhir dan tumbang kepada Newcastle United, West Ham dan Crystal Palace.

Tambah Matic, beliau yakin kelab itu akan berada pada kedudukan terbaik liga sekiranya pemain-pemain muda Manchester United berjaya mengekalkan konsisten kemenangan pada aksi berintensi tinggi dan rendah.

“Saya lihat para pemain muda kelab lebih konsisten dan agresif apabila menentang kelab gergasi. Corak ini juga sepatutnya diterjemahkan ketika menentang kelab kecil

"Jadi saya meminta para pemain muda Manchester United untuk fokus serta konsisten pada semua perlawanan setiap pertandingan bagi membantu kelab ini meraih kejayaan," katanya.

Pada musim ini, kem The Red Devils dihimpit kecederaan yang melanda pemain senior seperti Matic, Eric Bailly, Luke Shaw, Anthony Martial dan Paul Pogba.

Ketiadaan beberapa tonggak utama itu menyebabkan Solskjaer terpaksa menggunakan barisan pemain muda dalam sistem penggiliran pemain bagi mengharungi jadual padat liga domestik dan Eropah.