Gaji minimum RM1,800: Perbelanjaan kerajaan akan meningkat

Cuepacs menggesa agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam. (Gambar kecil: Profesor Dr Barjoyai Bardai)
Cuepacs menggesa agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam. (Gambar kecil: Profesor Dr Barjoyai Bardai)
A
A
A

SHAH ALAM – Perbelanjaan pengurusan kerajaan dijangka meningkat susulan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan gaji minimum RM1,800 kepada penjawat awam.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan cadangan itu juga mengakibatkan beban kewangan kerajaan turut meningkat 50 peratus.

“Sehingga kini, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM140 bilion setahun untuk membayar gaji kakitangan awam seramai 1.7 juta ketika ini. Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kerajaan mungkin perlu menambah lagi kira-kira RM70 bilion setahun bagi kenaikan gaji minimum ini.

“Mungkin ia sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Mungkin kerajaan tidak mampu tanggung,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan Cuepacs agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam.

Mengulas mengenainya, Barjoyai berkata, cadangan itu boleh digunapakai sekiranya kerajaan mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

“Saiz penjawat awam yang terlalu besar akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan sekali gus mengambil sebahagian besar belanjawan negara.

“Kecuali dengan mengecilkan jumlah kakitangan terbabit, mungkin kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh melaksanakan usul ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, permintaan Cuepacs itu akan memberi tekanan kepada sektor awam.

“Bagaimana sektor swasta mahu mengimbangi kenaikan gaji baharu sektor awam sedangkan gaji minimum RM1,200 yang diputuskan kerajaan memberi pelbagai reaksi kepada majikan.

“Kita faham Ceupacs sangat peka tentang kebajikan penjawat awam, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 namun ia terlalu sukar untuk dipenuhi.

“Apa yang lebih penting sekarang, produktiviti kakitangan kerajaan perlu dipertingkatkan, baru setanding dengan apa yang mereka mahukan nanti,” katanya.

Semalam, Presiden baharu Cuepacs, Adnan Mat berkata, pihaknya mencadangkan jumlah tersebut kerana kos hidup yang terus meningkat.

Katanya, gaji minimum RM1,200 amat tidak munasabah untuk penjawat awam memiliki rumah sendiri.