'Jangan fokus jana keuntungan, hidupkan konsep ekonomi berkebajikan'

Noor Azman ketika bercakap pada Wacana Sinar bertajuk Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Ekonomi Malaysia di Dewan Karangkraf di sini malam ini. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Noor Azman ketika bercakap pada Wacana Sinar bertajuk Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Ekonomi Malaysia di Dewan Karangkraf di sini malam ini. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Institusi atau entiti perniagaan disaran untuk menghidupkan konsep ekonomi berkebajikan dan tidak hanya menumpukan kepada aspek menjana keuntungan semata-mata.

Pensyarah dari Fakulti Ekonomi &Pengurusan Islam Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Noor Azman Ali berkata, peranan tersebut adalah salah satu daripada tiga elemen yang perlu ada dalam memastikan perkembangan ekonomi Islam yang berlandaskan syariah.

Beliau berkata, amat penting untuk institusi perniagaan ini menghidupkan ekonomi masyarakat dengan menyediakan keperluan asas yang diperlukan masyarakat Islam itu sendiri.

"Menerusi konsep ekonomi berkebajikan ini, institusi atau entiti perniagaan itu bukan saja memastikan mereka mendapat keuntungan tetapi pada masa yang sama turut memenuhi atau menyediakan keperluan harian masyarakat.

"Sebab itu, mereka yang menjalankan perniagaan ini hukumnya fardu kifayah dan saya ambil contoh, sekiranya dalam sesebuah kawasan perumahan tiada perniagaan yang dihidupkan ia akan menjejaskan keperluan masyarakat sekitar dari segi makan minumnya.

"Tambah lagi dalam kehidupan sekarang, perkhidmatan dobi layan diri, bengkel juga dilihat menjadi keperluan kepada masyarakat.. Jadi dalam konteks ekonomi Islam, kena ada orang yang buat perniagaan untuk penuhi keperluan masyarakat," katanya sebagai panelis pada wacana ke-147 di Dewan Karangkraf di sini malam ini.

Wacana bertajuk Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Ekonomi Malaysia yang berlangsung malam ini menampilkan dua lagi penalis iaitu Perunding Syariah di ISRA Consulting, Dr Tuan Badrul Hisham Tuan Soh dan Rektor Kolej Pengajian Islam Johor, Prof Dr Abdul Ghafar Ismail manakala pengacara televisyen, Saiful Nizam Ismail sebagai moderator.

Noor Azman berkata, dua lagi elemen lain yang penting dalam menghidupkan aktiviti ekonomi Islam adalah peranan regulator dan juga peranan masyarakat atau individu Islam itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peranan regulator atau kerajaan dari segi mentadbir urus dan menguatkuasakan peraturan amat penting dan dalam konteks hari ini ia dimainkan oleh pihak Bank Negara serta kementerian yang khusus untuk memantau perjalanan aktiviti ekonomi Islam itu sendiri.

"Mereka bertanggungjawab memastikan wujudnya aktiviti-aktiviti perniagaan yang mengikut landas-landas yang perlu dipatuhi," katanya.

Selain itu katanya, peranan entiti masyarakat atau individu Islam itu sendiri juga tidak boleh diabaikan kerana kumpulan inilah yang akan menjana ekonomi Islam kerana mereka merupakan pembeli, pembayar cukai termasuk penyumbang/pembayar zakat.

"Oleh itu berbalik kepada teori asas ekonomi, kita perlu aplikasikan ia kepada ekonomi Islam dengan memperkasakan dari segi fungsi ketiga-tiga elemen ini," katanya.