'Saya masih Presiden Bolivia'

Evo Morales
Evo Morales
A
A
A

BUENOS AIRES - Evo Morales mengakui beliau masih Presiden Bolivia dan menyifatkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya baru-baru ini sebagai tidak adil dan menyalahi undang-undang, lapor agensi berita Xinhua.

"Secara sah, saya masih presiden, peletakan jawatan saya tidak diterima Dewan Undangan seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 161, Bilangan 3 CPE (Perlembagaan Negeri Bolivia).

"Walaupun diterima ia tidak mematuhi prosedur jadi (Jeanine) Anez yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden adalah tidak sah," tulis Morales di Twitternya.

Beliau berkata, undang-undang membenarkannya terus berkhidmat sehingga mandatnya berakhir pada 22 Januari 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Bolivia arah tahan Evo Morales

Morales meletak jawatan pada 10 November berikutan bantahan terhadap pemilihan semula beliau sebagai Presiden untuk penggal keempat.

Pada 12 November, senator pembangkang Jeanine Anez mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara negara itu.

Kemudian, Morales berlepas ke Mexico dan kemudian ke Argentina pada 12 Disember apabila kedua-dua negara itu menawarkan perlindungan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, pejabat Peguam Negara Bolivia mengeluarkan waran tangkap terhadap Morales atas tuduhan menghasut, keganasan, dan menaja keganasan.

"Waran tangkap itu tidak adil, tidak sah dan tidak mengikut berperlembagaan. Saya masih presiden dan sebab itu, prosedur undang-undang Bolivia mesti dipatuhi," kata Morales.

Kerajaan sementara Bolivia semalam berkata, perkara itu akan dibawa ke Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian untuk sama ada Morales dibenarkan terlibat dalam politik.

"Kami akan berunding dengan mereka sama ada pelarian dibenarkan terlibat dalam perkara berunsur politik," kata Menteri Luar kerajaan sementara Karen Longaric.

Longaric berharap Argentina dapat membantu menahan Morales. - Bernama