Lelaki curi telefon dalam asrama MRSM diberkas

Wan Kamarul Azran (tengah) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki minggu lalu.
Wan Kamarul Azran (tengah) menunjukkan barang kes yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki minggu lalu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi telefon bimbit pelajar di tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan minggu lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu dikesan aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak beberapa bulan lalu, menyasarkan MRSM Lenggong, Gerik; MRSM Pasir Salak, Kampung Gajah dan MRSM Felda, Sungkai dengan menceroboh masuk bangunan asrama ketika pelajar sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian terbaru dilaporkan pada 23 November lalu membabitkan kehilangan 33 telefon bimbit milik pelajar MRSM Felda.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 4.56 pagi itu, dua blok asrama perempuan masing-masing di aras 1, 2, 3 dan 4 telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenal pasti.

"Hasil pemeriksaan, terdapat kesan pagar dipotong di belakang salah satu bangunan blok berkenaan.

"Kita percaya suspek telah pun membuat tinjauan sendiri lebih awal dan menceroboh masuk sebaik lampu-lampu asrama dipadam menandakan pelajar sedang tidur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim hari ini.

Telefon bimbit yang dirampas daripada suspek.
Telefon bimbit yang dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak berjaya memberkas suspek di satu lokasi di Baling, Kedah, 13 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek yang bekerja sendiri kemudiannya menunjukkan semua hasil barangan curi yang disimpan di rumahnya di Kampung Surau Jalan Weng, Baling.

"Di rumah itu kita menemui 86 telefon bimbit antaranya jenama iPhone, Samsung dan Huawei, enam laptop pelbagai jenama, lima kad pengenalan dipercayai milik pelajar, satu kad pelajar MRSM Pasir Salak dan satu tag nama tertulis 'Rania'.

"Turut ditemui beberapa peralatan bagi kegunaan penyelenggaraan telefon dan komputer antaranya pemutar skru dan pemotong wayar," katanya.

Wan Kamarul Azran menunjukkan antara bukti suspek menjual komponen dalaman komputer riba yang dicuri.
Wan Kamarul Azran menunjukkan antara bukti suspek menjual komponen dalaman komputer riba yang dicuri.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek yang mempunyai kepakaran membaiki telefon dan komputer mengaku telah menjual sebahagian komponen dalaman dan telefon yang dicuri.

Jelasnya, suspek turut mengaku menjalankan kegiatan itu sendirian dan menunggang motosikal dari Baling, Kedah dengan menggunakan aplikasi navigasi sebagai panduan ke setiap lokasi.

"Lokasi pertama sasaran suspek adalah di MRSM Lenggong, diikuti MRSM Pasir Salak dan seterusnya di MRSM Felda.

"Semakan kita mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan curi. Dia kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.