Kes Altantuya: Najib lafaz Sumpah Mubahalah nafi dakwaan Azilah

Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu bagi menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib melafazkan Sumpah Mubahalah itu selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan hari ini sambil disaksikan lebih 1,000 jemaah.

"Pada hari ini 20 Disember 2019, bersamaan 23 Rabiul Akhir 1441 H, di dalam rumah ALLAH SWT yang mulia ini dan Jumaat yang berkat ini, saya Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dengan ini

sesungguhnya, dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, berikrar dan bersumpah seperti berikut..

"A'uzubillahi minas syaitonirojim.. Bismillahirahmanirahim.. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana - mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Sharibu.

"Saya juga tidak pernah berjumpa atau mengenali mendiang sekali. Jika saya berdusta, maka laknat ALLAH SWT atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh ALLAH SWT di dunia dan akhirat," lafaznya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib buat sumpah laknat Jumaat ini

Artikel Berkaitan:

Najib sebelum melafazkan sumpah berkenaan berkata, beliau pernah melafazkan sumpah atas nama ALLAH SWT sebanyak dua kali iaitu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok, Selangor pada 2007 dan PRK Permatang Pauh, 2008.

Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

Menurutnya, beliau memahami implikasi terhadap Sumpah Mubahalah yang dilakukan itu.

"Saya berdiri atas kebenaran. Saya cuma takut pada ALLAH SWT maka dengan penuh rela hati mengambil keputusan untuk melafazkan Sumpah Mubahalah," katanya.

Pada 16 Disember lalu, sebuah portal berita mendedahkan Akuan Bersumpah (SD) dibuat bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri yang mendakwa Najib memberikan arahan untuk membunuh Altantuya.

Azilah yang kini berada di Penjara Kajang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Azilah mendakwa mendapat arahan untuk ‘tembak dan bunuh’ (shoot to kill) secara terus daripada Najib yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri.

Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Najib menafikan dengan menjelaskan dakwaan tersebut sebagai satu cerita rekaan terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan bahawa dakwaan terbabit adalah konspirasi baharu daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menentang dan memfitnah sekaligus membuka jalan kepada kerajaan untuk menahan serta memenjarakannya tanpa jaminan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa pihak polis menyiasat SD berkenaan bagi menentukan kebenarannya termasuk mereka yang menyediakan akuan bersumpah itu.