Sugarbook: DBP hanya semak dari sudut penggunaan bahasa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Sallehuddin Abang Shokeran menegaskan bahawa badan itu hanya menyemak iklan aplikasi 'dating' atas talian Sugarbook dari sudut penggunaan bahasa Melayu.

"Dalam peraturan iklan ini, tugas DBP adalah untuk menyemak dari segi bahasa. Apabila (segi penggunaan bahasa) telah disemak DBP, dewan bandaraya akan melihat dari aspek dan peraturan lain pula.

"Maknanya, DBP tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sesuatu iklan, hanya sebagai sokongan dari segi bahasanya. Jika bahasanya okey maka dari aspek lain adalah di bawah dewan bandaraya.

"Tetapi dalam konteks iklan ini, dewan bandaraya tidak luluskan tetapi pihak berkenaan telah mengiklankan dan menaikkan iklan itu, jadi itu salah dari segi peraturan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sugarbook, Darren Chan bahawa iklan aplikasi itu mendapat kelulusan DBP dan mendapat makluman yang salah daripada syarikat penerbitan iklan sehingga menyangka ia hanya satu-satunya kelulusan yang diperlukan.

"Katakanlah satu iklan arak atau rokok, apabila kita diminta untuk mengesahkannya betul atau tidak dari segi bahasa (ayat pada iklan). Kita hanya semak dari segi (penggunaan) bahasa sahaja," tambahnya.

Ketika ditanya mungkin iklan seperti itu boleh dianggap sensitif di kalangan masyarakat, beliau menegaskan soal kandungan bukan di bawah bidang kuasa DBP tetapi di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sugarbook: Pas persoal suara menteri, timbalan menteri

Artikel Berkaitan:

Gambar papan iklan yang memaparkan aplikasi 'dating' atas talian Sugarbook yang tersebar telah mendapat kecaman dan bantahan orang ramai.

Kelmarin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam kenyataan berasingan berkata, pihaknya tidak pernah meluluskan iklan itu dan telah mengarahkan ia ditarik balik.

YWP yang dikatakan telah bertanggungjawab terhadap dua papan iklan yang terlibat juga telah memanggil dan memberi surat tunjuk sebab kepada operator iklan tersebut.

Sugarbook ialah aplikasi 'dating' atas talian diasaskan di Malaysia yang dikatakan mempunyai pelanggan di seluruh Asia.

'Sugar daddy' atau 'sugar mommy' biasanya merupakan lelaki atau perempuan berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda atau 'sugar baby' sebagai pertukaran kepada perhubungan.