Bapa sempat kejutkan anak solat subuh kali terakhir

Anggota Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi mengangkat mayat seorang remaja lelaki lembam ditemui lemas di Sungai Telor selepas tergelincir ke dalam sungai berkenaan ketika memancing, pagi tadi. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi mengangkat mayat seorang remaja lelaki lembam ditemui lemas di Sungai Telor selepas tergelincir ke dalam sungai berkenaan ketika memancing, pagi tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Bapa kepada remaja yang lemas di Sungai Telor, di sini, pagi ini tidak menyangka mengejutkan anaknya untuk solat Subuh merupakan saat terakhir mereka bersama.

Mohd Nasir Abd Hamid, 57, bapa remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Muizzuddin Mohd Nasir, 18, berkata, arwah segera solat Subuh apabila dikejutkan.

"Saya ada juga berpesan dengan arwah dua hari lepas supaya tidak mandi manda di sungai kerana arus deras akibat musim hujan dan banjir," katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi petang tadi.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu sawit swasta itu reda dengan pemergian anaknya dan memaklumkan anak bongsu dari tujuh beradik itu merupakan seorang OKU kategori hiperaktif dan bersekolah di Kelas Pendidikan Khas SK Taman Sri Saujana Kota Tinggi.

Ketika kejadian, beliau dan isteri Norhayati Ahmad, 56, yang merupakan seorang guru Tabika Kemas, tiada di rumah kerana bertugas.

Ketika kejadian pada jam 11.26 pagi itu, Muhammad Muizzuddin dan rakannya Muhammad Haikal Iskandar Halim, 13, sedang memancing di Sungai Telor dan mayat mangsa ditemui kira-kira 3.05 petang.

Jenazah remaja lelaki itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Sungai Telor selepas solat Isyak malam ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: