Dendam peribadi punca Pervez Musharraf dihukum mati

Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menerusi kenyataan video dari katil hospital di Dubai mendakwa keputusan mahkamah terhadapnya adalah disebabkan dendam peribadi. - Foto AFP
Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menerusi kenyataan video dari katil hospital di Dubai mendakwa keputusan mahkamah terhadapnya adalah disebabkan dendam peribadi. - Foto AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menolak sabitan pengkhianatan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya awal minggu ini dan mendakwa keputusan tersebut sebagai 'dendam peribadi'.

Keputusan Mahkamah Khas pada Selasa lalu menyaksikan buat pertama kali seorang bekas pemimpin tentera disabitkan bersalah melakukan pengkhianatan dan dijatuhi hukuman mati di Pakistan, iaitu negara yang diperintah tentera selama puluhan tahun.

Musharraf mula berkuasa selepas menyingkirkan Perdana Menteri, Nawaz Sharif dalam rampasan kuasa pada 1999.

"Kes tersebut dilancarkan dan diteruskan berikutan dendam peribadi beberapa individu terhadap saya," kata Musharraf menerusi kenyataan video yang didedahkan oleh pembantunya malam semalam.

Dalam video terbabit, Musharraf yang kini dilaporkan berada di sebuah hospital di Dubai kelihatan lemah dan sukar untuk bercakap.

Bekas jeneral berkenaan berkata, beliau masih belum memikirkan langkah seterusnya atau sama ada pasukan pembelaan merancang untuk merayu keputusan tersebut.

Kes pengkhianatan yang mula dilancarkan pada 2013 itu berkisar kepada keputusan Musharraf menggantung Perlembagaan dan mengenakan perintah darurat pada 2007.

Dalam pada itu, jurucakap tentera Pakistan mengutuk keputusan mahkamah terhadap Musharraf dan berkata, pasukan tentera terasa 'sakit' susulan keputusan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Seorang bekas ketua tentera dan bekas Presiden Pakistan yang telah berkhidmat untuk negara selama lebih 40 tahun dan berperang demi pertahanan negara tidak akan menjadi pengkhianat," kata kenyataan tentera hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Imran Khan yang juga bekas seteru Musharraf dikatakan lebih banyak berdiam diri sejak keputusan diumumkan. - AFP