Pangkalan TLDM Lumut bebas H1N1

Tular di media sosial menyatakan penyakit H1N1 tersebar di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. - Foto 123RF
Tular di media sosial menyatakan penyakit H1N1 tersebar di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak setakat ini bebas daripada jangkitan Influenza H1N1.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, sebelum ini hanya beberapa warga TLDM Lumut yang disyaki mempunyai simptom seakan jangkitan H1N1.

“Pada mulanya kami mengesyaki ia adalah jangkitan H1N1 dan kami terpaksa kuarantin mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bagaimanapun, selepas saringan kesihatan dibuat mereka didapati bebas daripada H1N1," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan yang tular di media sosial menyatakan penyakit itu tersebar di pangkalan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Graduasi 42 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

MPAT merupakan institusi pendidikan tertinggi ATM yang menyediakan pendidikan profesional di peringkat ijazah sarjana dengan kursus dilakukan selama setahun melibatkan pegawai ATM yang berpangkat leftenan kolonel dan kolonel atau setaraf daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

Sementara itu, mengulas mengenai status penerimaan kapal misi pesisir (LMS) TLDM, Mohd Reza berkata, unit pertama kapal itu dijangka tiba di negara ini pada bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Kontrak perolehan empat buah LMS antara kerajaan Malaysia dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd telah ditandatangani pada 23 Mac 2017.

Kontrak yang bernilai RM1.048 bilion itu akan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun bermula pada 2017 sehingga 2021. - Bernama