Dialog platform terbaik perbetul salah faham tentang Islam: Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ruang dialog adalah penting dalam membetulkan salah faham tentang agama Islam, selain ia dilihat sebagai usaha memahami serta bekerjasama di sebalik perbezaan dan bersaing mengejar kecemerlangan secara sihat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, menerusi dialog lagi, umat Islam mempunyai satu platform yang kukuh memperbetulkan salah faham mengenai Islam dalam kalangan mereka yang berlainan agama dan ideologi serta membolehkan mereka berinteraksi dan berhubung dengan masyarakat berlainan budaya dan tamadun.

Titah Seri Paduka, untuk membolehkan dialog sedemikian, umat Islam perlu melangkah ke hadapan merangkumi aspek pemahaman secara lebih mendalam terhadap iman.

"Apabila kita mencapainya, kita akan mewujudkan generasi baharu umat Islam yang boleh melaksanakan peranan mereka dengan bijaksana, berani, keadilan dan kesaksamaan," titah Yang di-Pertuan Agong semasa berangkat merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sidang kemuncak itu juga dihadiri Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur dilihat sebagai satu platform penting kepada pemimpin dan tokoh cendekiawan Islam bagi membuktikan keutuhan kesatuan ummah.

Artikel Berkaitan:

"Dengan berbuat demikian, kita akan mengetahui adanya perbezaan ketara, namun cabaran yang kita hadapi adalah sama.

"Tema persidangan ini yang menekankan aspek pembangunan dan kedaulatan negara adalah tepat seiring perkongsian kemakmuran dan pembangunan sesebuah negara," titah Seri Paduka.

Titah Al-Sultan Abdullah, walaupun umat Islam terdiri dari pelbagai negara yang mempunyai sejarah dan amalan berbeza, namun mereka tetap bersatu dalam satu paksi universal iaitu atas landasan agama Islam.

"Kita berbeza dalam kedudukan dan zon waktu, namun kita bersama-sama menunaikan ibadah solat. Ia suatu yang sangat menakjubkan. Ini secara jelas menunjukkan bahawa umat Islam berusaha ke arah mencapai perpaduan dalam kehidupan seharian," titah baginda.

Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah, sudah tiba masanya umat Islam memperluaskan langkah menuju perpaduan ummah yang lebih utuh.