Sidang Kemuncak KL: Ruang selesai kegagalan dunia Islam

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 adalah tepat pada masanya untuk membincangkan lebih mendalam kedudukan terkini masalah yang dihadapi umat Islam pada masa kini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, platform itu juga membuka ruang untuk memperhalusi kelemahan dan kegagalan dunia Islam serta seterusnya mencari langkah penyelesaian lanjut.

"Malah bukan sahaja isu politik juga disentuh tetapi juga soal sains dan pembangunan sekali gus menunjukkan sidang ini merupakan platform terbaik terhadap kemajuan umat Islam.

"Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana menganjurkan sidang sebegini, bahkan sebahagian peserta yang dijemput masing-masing dengan tujuan untuk memperkasa kerjasama antara umat Islam," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, beliau sendiri telah diundang oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut dan secara peribadi amat menyokong penuh penganjuran acara berkenaan.

Katanya, beliau melihat penganjuran sidang itu di Malaysia yang terletak jauh dari negara-negara Islam yang berhadapan konflik pergolakan adalah tepat apatah lagi kedudukan negara ini bebas daripada kancah peperangan.

Beliau menambah penyertaan pelbagai negara khususnya Turki, Iran dan Qatar memperlihatkan kesungguhan negara-negara Islam bagi mencari jalan keluar krisis daripada masalah umat Islam.

"Setiap negara mewakili benua tertentu, misalnya Malaysia dari Asia Tenggara dan ini sudah mencukupi ke arah memperkasa umat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, saya menyokong penuh sidang ini dan secara peribadi, saya juga mengajak kempen-kempen kemajuan ummah seperti diterapkan dalam sidang ini menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar negara," katanya.