Disiplin tinggi julang skuad ragbi B-19 negara

Para pemain B-19 negara meraikan kejayaan mara saingan Divisyen Satu Ragbi Asia B-19 tahun depan.
Para pemain B-19 negara meraikan kejayaan mara saingan Divisyen Satu Ragbi Asia B-19 tahun depan.
A
A
A

DISIPLIN dan semangat juang tinggi dalam kalangan para pemain muda ragbi negara disifatkan kunci utama kepada kejayaan Malaysia kembali semula ke saingan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun (B-19) Divisyen Satu tahun depan selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 15-14 pada aksi kedua di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Ketua jurulatih B-19 negara, Mohd Farid Syazwan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan para pemainnya. walaupun mengakui berdepan kesuntukan masa dalam mempersiapkan pasukan.

“Walaupun kita mempunyai masa singkat untuk siapkan pasukan, tapi atas komitmen semua kita berjaya dapat apa yang diidamkan.

“Separuh masa kedua kita sedikit perlahan dan UAE yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal, menguasai hampir keseluruhan permainan, tetapi pemain bermain bermati-matian dan berjaya kekalkan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Farid berkata, persiapan rapi perlu bermula dari sekarang untuk mendapatkan kombinasi terbaik menjelang Divisyen Satu yang dijadual berlangsung penghujung tahun depan.

“Kita akui Divisyen Satu adalah standard yang lebih tinggi daripda Divisyen Dua, dan kita perlukan persiapan awal untuk mencari kombinasi terbaik,” tambah beliau

Malaysia mengumpul enam mata keseluruhan sementara UAE empat, selepas dicampur dua mata diraih kedua-dua pasukan dalam aksi pertama, yang berakhir dengan keputusan seri 12-12 di venue sama, Ahad lalu.

Kejayaan skuad bimbingan Mohd Farid itu membolehkan Malaysia kembali bersaing dalam Divisyen Satu musim depan, selepas kali terakhir beraksi pada musim 2017.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi hari ini, skuad negara berjaya melakukan dua try, melengkapkan satu conversion dan satu penalti, sementara UAE hanya melakukan satu try dan menyempurnakan tiga penalti.

Dua try Malaysia dilakukan Ahmad Zulhilmi Azizad pada minit kedua dan minit ke-15, sementara Muhamad Hafiezie Sudin bijak menyempurnakan conversion pada minit ketiga, sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-24.

14 mata UAE disumbangkan Justin Brits yang melengkapkan dua penalti pada minit kesembilan dan minit ke-31 sementara Baptiste Requillart dan Alistair Hess masing-masing melakukan try pada minit ke-19 dan minit ke-52.