Perketatkan penguatkuasaan agar pindaan Akta Perhutanan lebih berkesan

Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mengalu-alukan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk meminda Akta Perhutanan Negara 1984 seperti diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar.

Cadangan pindaan yang merangkumi peningkatan denda dan tempoh penjara masih kurang jika dibandingkan dengan cadangan pindaan yang dikemukakan Peka.

Presiden Peka, Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sebelum ini di Parlimen, pihaknya menyerahkan memorandum dengan cadangan denda setinggi RM10 juta atau penjara antara lima hingga 30 tahun bagi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15 dan 47 akta berkenaan.

Menurutnya, organisasi dan sindiket yang menjadi dalang kepada jenayah sebegini tidak mungkin dapat dihalang dengan denda yang rendah berbanding keuntungan diperoleh.

"Aktiviti haram mereka mampu mengaut keuntungan beratus juta ringgit setahun.

"Paling penting aktiviti haram yang menggugat alam sekitar terutamanya pengambilan hasil hutan secara haram hanya boleh dibendung dengan penguatkuasaan jitu dan disokong dengan tindakan undang-undang yang adil dan saksama.

"Peka berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan menjalankan tugas dengan penuh integriti dan diberikan ruang menyiasat tanpa sebarang gangguan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariffa Sabrina berkata, tanpa usaha dan penguatkuasaan yang jitu, sebarang pindaan kepada Akta Perhuntanan Negara 1984 akan sia-sia.

Artikel Berkaitan:

"Justeru Peka menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuktikan komitmen masing-masing bagi melindungi khazanah alam negara.

"Sebarang pindaan yang dilaksanakan mesti akan menunjukkan keberkesanannya melalui penguatkuasaan yang efektif," katanya.