YWP keluarkan amaran, surat tunjuk sebab kepada operator iklan

Papan iklan Sugarbook yang dikesan dipasang di Bangsar dan Bukit Kiara. - Foto: DBKL.
Papan iklan Sugarbook yang dikesan dipasang di Bangsar dan Bukit Kiara. - Foto: DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengeluarkan notis amaran dan surat tunjuk sebab kepada syarikat operator berkaitan iklan aplikasi lucah di Bangsar dan Bukit Kiara.

YWP menerima aduan mengenai pemasangan visual iklan aplikasi berkenaan di dua papan iklan luar di bawah pengurusan yayasan itu pada jam 8.15 malam, semalam.

"YWP mengambil tindakan segera dengan menghubungi syarikat operator berkenaan dan mengarahkan pemaparan visual tersebut dihentikan dan diturunkan segera.

"Pada jam 9.45 malam, berdasarkan pemeriksaan oleh YWP di lokasi terbabit mendapati paparan visual tersebut diturunkan. YWP juga memanggil syarikat operator tersebut dan memberikan notis amaran serta surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto iklan Sugarbook secara digital itu tular di media sosial sejak semalam sehingga mendapat pelbagai reaksi apabila mempromosikan aplikasi lucah.

SugarBook ialah aplikasi mencari pasangan atas talian yang diasaskan di Malaysia dikatakan boleh menghubungkan 'sugar daddy' atau 'sugar mommy' dengan 'sugar baby' dari negara ini dan seluruh Asia.

'Sugar daddy' atau 'sugar mommy' biasanya lelaki atau perempuan yang berusia tetapi sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda - sugar baby sebagai pertukaran kepada jalinan hubungan.

Artikel Berkaitan: