Penguatkuasaan longgar punca Malaysia jadi lubuk scammer

Sistem penguatkuasaan longgar dalam menerima kemasukan warga asing sebagai pelawat ke negara ini kemungkinan menjadi antara faktor Malaysia menjadi lubuk sindiket penipuan atau scammer. Gambar dari kiri: NADIAH SYARIANI, SHAHUL HAMID
Sistem penguatkuasaan longgar dalam menerima kemasukan warga asing sebagai pelawat ke negara ini kemungkinan menjadi antara faktor Malaysia menjadi lubuk sindiket penipuan atau scammer. Gambar dari kiri: NADIAH SYARIANI, SHAHUL HAMID
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem penguatkuasaan longgar dalam menerima kemasukan warga asing sebagai pelawat ke negara ini kemungkinan menjadi antara faktor Malaysia menjadi lubuk sindiket penipuan atau scammer.

Pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata, disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang dilihat lemah itu juga secara tidak langsung membuka ruang kepada sindiket melakukan kegiatan penipuan tanpa dikesan.

Menurutnya, penguatkuasaan yang lebih ketat seharusnya bermula daripada kawalan kemasukan warga asing ke dalam negara sehinggalah ke perlaksanaan undang-undang dan hukuman jika didapati melakukan kesalahan.

"Kemasukan warga asing ke dalam negara harus bermula dengan pemeriksaan yang ketat terhadap dokumen perjalanan, tujuan, tempoh lawatan dan sebagainya.

"Saya percaya negara-negara lain juga sudah mula melakukan pemeriksaan yang lebih ketat meskipun pelawat sudah lepas di pemeriksaan imigresen.

"Mereka akan diperiksa sekali lagi sebelum dibenarkan keluar dari pagar ketibaan di lapangan terbang sekiranya didapati pelawat atau tujuan lawatan mencurigakan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa negara ini juga perlu membuat pemantauan terhadap aktiviti pelawat asing sepanjang berada di Malaysia.

"Pemantauan aktiviti juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka benar-benar berada di dalam negara mengikut tujuan asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, perlaksanaan yang menyeluruh pada setiap peringkat supaya sekatan terhadap jenayah sindiket penipuan dapat dilakukan di peringkat awal juga perlu dilakukan.

Dalam pada itu, pandangan sama turut dikongsi seorang lagi pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim.

Menurutnya, sudah tiba masanya penguatkuasaan secara lebih serius dan tegas dilakukan dalam memastikan jenayah itu dapat ditangani sebaiknya.

"Pihak berkuasa perlu melakukan aktiviti pembanterasan secara berterusan bukan hanya bermusim.

"Operasi secara bersepadu antara semua agensi berkaitan juga perlu diperkukuh agar sindiket yang semakin hari semakin membimbangkan ini dapat ditangani dengan menyeluruh," katanya.

Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, masyarakat juga perlu diberi pendedahan secara berterusan agar tidak lagi menjadi mangsa sindiket tersebut.

Bagaimanapun katanya, sikap masyarakat yang masih memandang remeh, tamak dan inginkan kekayaan segera secara tidak langsung turut menyumbang kepada faktor yang menjadikan segelintir rakyat di negara ini menjadi mangsa.

"Nilai kesedaran yang masih rendah juga turut menyumbang kepada masih ramai masyarakat tertipu dengan jenayah itu," katanya.