KPLB sasar lahirkan 50 usahawan jutawan luar bandar

Rina (kiri) menyampaikan sumbangan bantuan berasaskan barangan dapur kepada Shamsul Kamal Abd Hamid, 49, (kanan) dan baucar bantuan persekolahan kepada Nur Ardina Sofea,17, (dua dari kanan) pada program Back To School di Taman Perpaduan Tambun hari ini. -Foto Bernama
Rina (kiri) menyampaikan sumbangan bantuan berasaskan barangan dapur kepada Shamsul Kamal Abd Hamid, 49, (kanan) dan baucar bantuan persekolahan kepada Nur Ardina Sofea,17, (dua dari kanan) pada program Back To School di Taman Perpaduan Tambun hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran melahirkan seramai 50 usahawan jutawan luar bandar di seluruh negara, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan program telah dilaksanakan kementerian termasuk program Luar Bandar ke Global bagi membantu usahawan luar bandar sekali gus untuk merealisasikan sasaran mencapai 50 usahawan jutawan itu.

Katanya, program Luar Bandar ke Global mampu melahirkan usahawan desa yang berpotensi tinggi untuk bersaing dan meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

"Saya berharap agar peluang ini dapat diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan atau bakal usahawan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika berucap pada program Karnival Memperkasakan Produk Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini hari ini.

Karnival selama dua hari di Padang Tanjung Rambutan yang bermula hari ini merupakan anjuran Persatuan Usahawan Wanita Kreatif Ipoh. Ia bertujuan, antara lain untuk membantu usahawan IKS luar bandar yang terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Seramai 88 usahawan wanita luar bandar terlibat dalam karnival yang mendapat sokongan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun, Majlis Agama Islam Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Perak dan Persatuan Usahawan Perak itu.

Selain itu, Rina berkata, kementeriannya telah bekerjasama dengan platform perniagaan dalam talian seperti Lazada, Ebay dan Shopee melalui program Desamall@KPLB dan Desaauto@KPLB bagi meluaskan pasaran produk usahawan luar bandar ke pasaran antarabangsa.

"Bagi platform Shopee, sebanyak 275 peratus peningkatan jualan produk usahawan luar bandar telah dihasilkan selepas Desamall@KPLB dilancarkan pada bulan Oktober," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Rina mencadangkan agar kajian untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir yang sering berlaku setiap kali musim tengkujuh dilaksanakan agar ia dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Saya percaya kerajaan telah membelanjakan jutaan (ringgit) setiap tahun untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Jika kita dapat mengenal pasti masalah sebenar banjir ini, kita terus selesaikan secara one off supaya rakyat pun lega,” katanya.

Katanya, selain mengkaji teknologi baharu untuk mengatasi masalah itu, kerajaan juga boleh mempelajari kaedah negara maju seperti Belanda atau Jerman untuk mencari cara terbaik menangani banjir di negara ini. - Bernama