X

Kindly register in order to view this article
!

Waspada buaya sesat ketika banjir

Keadaan banjir dekat Jalan R&R Dusun Panti Jalan Mersing-Kota Tinggi. (Gambar kecil: Gambar hiasan)
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perhilitan Johor menasihati orang ramai supaya berwaspada tentang kemungkinan terdapat buaya tembaga ‘yang tersesat’ dari sungai berdekatan akibat banjir melanda sembilan daerah negeri ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, ia tidak mustahil selepas mengambil kira laporan serta kajian kehadiran populasi buaya di sembilan sungai negeri ini sebelum ini.

Sungai-sungai itu ialah Sungai Batu Pahat (Batu Pahat), Sungai Jemaluang dan Sungai Endau (Mersing), Sungai Lebam dan Sungai Sedili (Kota Tinggi), Sungai Muar (Muar), Sungai Pulai (Pulai) dan Sungai Johor dan Sungai Skudai (Johor Bahru).

"Jadi kawasan berpotensi (untuk buaya ini tersesat) tentunya ialah di longkang-longkang besar, parit atau tali air.

"Ia akan mencari binatang ternakan yang mati lemas akibat banjir sebagai sumber makanan yang mudah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Salman berkata, sekiranya terserempak dengan haiwan reptilia itu, tindakan yang harus dibuat oleh orang ramai ialah menjauhinya dan memaklumkannya kepada pihak jabatan.

“Jangan membuat provokasi atau panik kerana ini akan menyebabkan haiwan berkenaan bertindak ganas.

“Selain itu, pekalah terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seperti ini (terserempak buaya),” katanya.

Banjir sejak empat hari lalu menyebabkan lebih 9,000 penduduk di daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Muar dan Kulai terjejas ekoran rumah didiami dinaiki air. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!