X

Kindly register in order to view this article
!

MOA laksana pelbagai inisiatif majukan sektor pertanian tahun ini

Salahuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) hari ini membentangkan 'kad laporan' pencapaian dan inisiatif yang dilaksanakan dalam memajukan sektor pertanian negara sepanjang tahun 2019.

Kad laporan setebal 19 muka surat itu menggarap lima hala tuju kementerian yang diterajui Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi tempoh 2019 hingga 2020 dalam usaha memacu sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini.

Lima hala tuju itu adalah memodenkan dan meningkatkan pengeluaran pertanian; merancakkan penglibatan pelaburan swasta; pertanian sebagai satu sumber pendapatan; menambah baik ekosistem industri pertanian; dan memperkukuh struktur organisasi di bawah MOA.

Tahun 2019 juga menyaksikan inisiatif yang dilaksanakan kementerian bagi mengawal pencerobohan nelayan asing iaitu kolaborasi antara kementerian melalui Ops Naga yang bermula pada April bertujuan mengawal pencerobohan yang mengakibatkan ketirisan hasil laut sebanyak RM6 bilion setahun.

Menurut laporan itu, sebanyak 211 bot nelayan asing ditahan dan lima buat bot telah dilupuskan (ditenggelamkan untuk dijadikan tukun) dalam operasi itu sebagai tindakan tegas terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara, manakala hasil lelongan rampasan bot dan pendaratan ikan mencatatkan RM560 juta.

Kerajaan juga mentransformasikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui perubahan komposisi Ahli Jemaah Pengarah di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan, Pertubuhan Peladang Negeri dan Nafas dengan mewartakan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 bagi memperkukuh tadbir urus Nafas.

Bagi memelihara industri perikanan, MOA mengambil inisiatif meminda Akta Perikanan 1985 iaitu meningkatkan kadar denda pencerobohan nelayan asing daripada RM1 juta kepada RM6 juta selain mengeluarkan lesen penangkapan ikan laut lepas serta menggalakkan rakyat menceburi industri penangkapan ikan tuna bagi meningkatkan sumbangan pendaratan hasil tuna sebanyak 30,000 tan metrik dengan nilai RM300 juta setahun.

Kerajaan terus komited dalam menjaga kebajikan nelayan dengan meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) daripada RM200 kepada RM250 sebulan kepada 40,000 nelayan.

Bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin dan miskin tegar, program Rezeki Tani dengan memberi bantuan dalam bentuk peralatan yang memberi manfaat kepada 471 peserta untuk menerima bantuan RM10,000 seorang.

Mengenai pasaran durian dan nanas ke China, pengeksportan sulung durian sejuk beku pada Jun sehingga Ogos mencecah RM532,468 manakala nilai eksport nanas pada Januari sehingga Ogos RM378,386.

Menyentuh usaha meningkatkan pendapatan keluarga nelayan, MOA melancarkan kerjasama strategik skim mikro pinjaman Agro Nisaa’-i bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) bagi membantu isteri nelayan di seluruh negara.

Sehingga kini 40 penerima dari Kedah menikmati manfaat dengan nilai pembiayaan RM62,500.

Sebagai usaha membangun dan menggalakkan penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian, sejumlah 863 permohonan argopreneur muda diluluskan dengan nilai geran RM14.08 juta.

Selain itu, beberapa teknologi, varieti dan baka baharu iaitu melaksanakan klon baharu belimbing 'Bintang Mas' yang mampu mengeluarkan hasil 10 tan sehektar setahun dengan petani berpotensi meningkatkan pendapatan 20 peratus iaitu hasil jualan RM30,000 untuk sehektar setahun.

Selain itu, kacukan kambing Boer-Katjang 'BK', bertujuan meningkatkan saiz kambing itu membolehkan penternak meningkatkan pendapatan sehingga RM187.40 bagi setiap ekor induk betina 'BK'.

Padi hibrid pertama negara 'Kadaria 1' yang mampu meningkatkan hasil padi sehingga 40 peratus turut diperkenalkan dan dijangka mengeluarkan hasil tujuh ke lapan tan sehektar semusim.

Bagi merancakkan sektor pertanian, penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan diteruskan bagi menghargai sumbangan golongan itu yang menjadi penyumbang utama makanan negara, dengan jualan tunai dan memorandum persefahaman bernilai RM30 juta berjaya direkodkan.

Program Bazaar Peduli Rakyat, yang menawarkan harga produk jualan lima hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, dilaksanakan bagi meringankan beban kos hidup rakyat.

Inisiatif Ezi myGAP diperkenalkan sebagai langkah mengurangkan kerenah birokrasi tanpa berkompromi dengan kualiti dan keselamatan makanan dan proses permohonan sijil myGAP disingkatkan dari dua tahun kepada tiga bulan.

Kerajaan turut meneroka potensi penanaman padi lebih berkualiti dan bernilai tinggi melalui projek rintis penanaman padi pulut di Pulau Langkawi, yang melibatkan 1,200 petani serta dapat meningkatkan pendapatan 24 peratus berbanding pendapatan penanaman padi putih.

Dalam usaha mengurangkan penglibatan orang tengah dalam rantaian pemasaran bagi menjamin harga berpatutan, tiga inisiatif dilaksanakan iaitu pemerkasaan 129 pasar nelayan’ mewujudkan NekmatBiz.com.my sebagai platform penjualan ikan dan produk berasaskan ikan secara dalam talian serta membangunkan Agromall Puchong sebagai kompleks pemasaran produk hasil pertanian.

Tahun 2019 menyaksikan, MOA memperkenalkan program Jom Kongsi Rezeki bertujuan mengumpul sumbangan produk makanan untuk diagihkan kepada golongan sasar terutamanya B40 yang diadakan di tapak Bazaar Peduli Rakyat dan Pasar Tani.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!