Dakwaan Azilah adalah cerita orang terdesak: Najib

Azilah, Altantuya dan Sirul.
Azilah, Altantuya dan Sirul.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan terbaharu bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Najib menjelaskan arahan ‘tembak dan bunuh’ (shoot to kill) kepada Azilah dan seorang lagi anggota polis, Sirul Azhar Umar sebagai satu cerita rekaan terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.

“Ini adalah cerita rekaan orang yang terdesak dan cuba melepaskan diri daripada hukuman mati. Kenapa maklumat ini tidak ditimbulkan sebelum ini, tetapi hanya sekarang, lebih sedekad selepas kematiannya (Altantuya) dan selepas 19 bulan PH berkuasa?" Soal Najib seperti dilapor portal berita itu hari ini.

Najib berkata demikian bagi mengulas laporan Malaysiakini yang mendedahkan akuan bersumpah (SD) Azilah yang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika itu merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya ‘keadilan dapat ditegakkan’.

Sirul pula pada ketika ini berada di sebuah pusat tahanan imigresen di Australia.

Seorang jurucakap Jabatan Peguam Negara Australia pada Februari lalu menjelaskan, Sirul boleh dihantar pulang ke Malaysia dengan syarat satu aku janji diberikan bahawa hukuman mati itu tidak akan dilaksana.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Akta Ekstradisi Australia tidak membenarkan ekstradisi dari Australia di mana kesalahan itu tertakluk kepada hukuman mati, melainkan jika satu aku janji diberikan bahawa hukuman mati itu tidak akan dikenakan atau, jika dikenakan tidak akan dilaksana.

Sirul dan Azilah telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Mereka berjaya mengenepikan sabitan itu di peringkat Mahkamah Rayuan pada 2013 namun Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati mereka.

Sirul telah melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusannya. Mahkamah Persekutuan kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Razak Baginda pula dibebaskan daripada tuduhan bersubahat, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes.



Kronologi kes pembunuhan Altantuya

2006

26 Okt: Cif Inspektor Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman ditangkap berhubung kehilangan Altantuya.

6 Nov: Korporal Sirul Azhar Umar dari unit yang sama turut ditangkap.

7 Nov: Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

15 Nov: Azilah dan Sirul dituduh bersama di mahkamah majistret di Shah Alam atas pembunuhan Altantuya. Mereka didakwa telah membunuh wanita itu di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Okt dan 1.00 pagi hari berikutnya.

16 Nov: Razak didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Okt di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.

2007

19 Jun: Perbicaraan Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis berkenaan atas pembunuhan Altantuya bermula.

2008

31 Okt: Mahkamah Tinggi membebaskan Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau. Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar dan memerintahkan mereka membela diri.

14 Nov: Timbalan pendakwa raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.

2009

15 Jan: Azilah dan Sirul Azhar memulakan pembelaan diri. Azilah memberi kenyataan bersumpah dari kandang saksi.

4 Feb: Sirul Azhar memberi kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.

9 April: Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum gantung sampai mati.

10 April: Azilah memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

13 April: Sirul Azhar memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

2013

24 Jun: Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kedua-dua mereka.

23 Ogos: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka dari tuduhan berkenaan. Pendakwaan memfail rayuan pada hari yang sama.

2014

23 Jun: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan. Perkara itu didengar selama tiga hari.

25 Jun: Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.

2015

14 Jan: Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati mereka kerana membunuh model sambilan dan penterjemah berumur 28 tahun itu.