X

Kindly register in order to view this article
!

TH tumpu pelaburan strategik

TH menyasarkan operasi yang cekap supaya dapat menyumbang kepada masyarakat.
A
A

SHAH ALAM - Tadbir urus yang cekap merupakan antara enam langkah keutamaan pengukuhan Lembaga Tabung Haji (TH) sejajar matlamat menjadikan institusi kewangan itu terus berdaya saing di samping mampu meneruskan kelangsungan di dalam memberi sumbangan kepada ekonomi umat Islam di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pihaknya juga memberi tumpuan kepada pelaburan strategik yang mampu memberi pulangan lebih stabil kepada pendeposit pada masa hadapan.

Menurutnya, langkah tersebut diambil berikutan suasana pelaburan semasa yang semakin mencabar sama ada dalam dan luar negara.

"Sekarang kita ada RM70 bilion deposit yang kita tadbir. Kita melabur dan salah satu daripada pelaburan yang penting kita ada ialah yang strategik khususnya di dalam anak-anak syarikat seperti Bank Islam, syarikat takaful, TH Travel dan banyak lagi.

"Jadi apa yang akan kami tekankan untuk masa depan adalah untuk memperkukuhkan lagi anak-anak syarikat ini kerana ia penting daripada segi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan ekonomi halal.

"Insya-ALLAH semua anak-anak syarikat ini akan diselia dengan lebih terperinci supaya masyarakat akan lebih terkesan, di mana dengan anak-anak syarikat ini kita cuba untuk menyebarkan manfaat hasil daripada tabungan di TH ini kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya dalam sidang akhbar mengenai hala tuju TH di Ibu Pejabat TH, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, selain tadbir urus, lima langkah lain pengukuhan TH adalah pengurusan deposit, pengurusan haji, sumber manusia, operasi dengan cekap dan usaha memastikan anak-anak syarikat dapat lebih menyumbang kepada masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, pelaburan saham dan ekuiti akan dihadkan kerana masing-masing mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding pelaburan aset tetap.

"Kita mentadbir aset, bukan sekadar kita beli dan kita simpan tetapi adakalanya kita beli dan ada aset yang kita simpan untuk jangka panjang. Ada yang mungkin kita ingin mendapatkan dividen dan pulangan.

"Bagaimanapun ada juga yang dilaburkan untuk jangka masa sederhana, bila dapat keuntungan yang kita sasarkan, kita boleh jual. Bila kita jual kita akan beli aset lain pula.

"Kadang-kadang di TH, ada orang tanya berapa banyak kita jual tetapi orang lupa nak tanya selepas jual itu beli apa? Seolah-olahnya kerja kita jual aset sahaja. Jawapannya tidak, kita jual dan kita labur balik atau kita beli aset lebih bagus. Sebab kaedah pelaburan ini kita perlu melihat ke hadapan setahun dua tahun tiga tahun," tegas beliau.

Setelah diberi amanah menguruskan TH, Nik Mohd Hasyudeen berkata, fokusnnya kini adalah untuk menjadikan TH sebuah institusi Islam dihormati di atas prinsip pencapaian dan tadbir urus serta memberi tumpuan kepada pelaburan strategik yang mampu memberi pulangan lebih stabil kepada pendeposit pada masa hadapan.

Ujarnya, perkara itu dilihat amat penting dan mahu tidak mahu kerana TH merupakan sebuah institusi kewangan Islam yang diberi amanah mentadbir tabungan umat Islam yang berhasrat mengerjakan Rukun Islam kelima iaitu haji.

"Jadi ini satu perkara yang kita tidak boleh lari. Justeru, duit yang kita terima adalah duit yang berkaitan dengan agama, jadi kita kenalah menghormati mandat kita dan TH perlu menjadi sebuah institusi yang orang Islam boleh banggakan.

"Bagaimana ingin mencapainya adalah dengan memperkukuhkan prestasi. Prestasi ini ada dalam pelbagai dimensi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!