Jentera serangan TRW dikemudi pemain bertaraf bintang?

Yusri che lah
Yusri che lah
A
A
A

KETUA Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah memberi bayang sosok bertaraf bintang akan mengemudi jentera serangan pasukan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Premier musim depan.

Yusri berkata, pihaknya akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain tempatan itu di barisan paling hadapan sebagai strategi baharu Kelantan untuk menjaringkan lebih banyak gol pada musim depan sekali gus kembali beraksi di Liga Super musim 2021.

"Ini berikutan statistik sepanjang musim ini mendapati pemain import yang berkhidmat dengan Kelantan pada musim ini gagal berfungsi dengan baik dan langkah menggunakan pemain tempatan di bahagian serangan adalah strategi baharu kami.

"Saya akan mengekalkan 14 pemain daripada skuad terdahulu dan memerlukan tiga pemain tempatan selain empat pemain import," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak bersama penaja yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif After Image Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari di sini hari ini.

Mengulas lanjut Yusri berkata, selain itu, The Red Warriors musim depan juga akan lebih seimbang dengan pemain senior yang akan berfungsi untuk membimbing pemain muda ketika bertemu dengan mana-mana pasukan.

"Jika melihat kepada senarai pemain Kelantan sejak beberapa tahun lepas, secara purata umur pemain Kelantan adalah sekitar 23 tahun dan telah beraksi dalam Liga Super (sebelum Kelantan jatuh ke Liga Premier) dan umur berkenaan tidak begitu sesuai untuk beraksi dalam liga yang begitu besar.

"Justeru, kita akan menggunakan khidmat beberapa pemain senior agar dapat membimbing pemain muda ini untuk beraksi dengan lebih matang sebagai persediaan untuk ke Liga Super," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 22 hingga 23 pemain akan dibawa bermain untuk Kelantan pada musim depan di sebalik kekangan kewangan yang dihadapi pasukan.

"Saya tidak ingin membesarkan skuad kerana tidak mahu membebankan kewangan Kafa dan senarai akhir pemain termasuk import telah dihantar kepada pengurusan. Kita cuma menunggu kehadiran pemain import untuk diuji dan mereka dijangka tiba selewat-lewatnya pada 1 Jan ini," katanya. - Bernama