KPM lulus RM400 juta untuk penyelidikan universiti

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MACHANG – Kementerian Pendidikan meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan kerja penyelidikan di 25 buah universiti awam di seluruh negara, sepanjang tahun depan.

Timbalan Setiausaha Bahagian (Pendidikan Tinggi) Cawangan Pembangunan kementerian itu, Megat Azlani Megat Ramli berkata, peruntukan itu bagi memperluaskan lagi usaha penyelidikan dalam skop yang lebih besar.

“Kerajaan mahu hasil penyelidikan (inovasi) mereka dapat dikomersialkan untuk faedah rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Inovasi 2019 Anugerah Kecemerlangan Staf & Penghargaan Sumbangan Bakti Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Lebih 100 pensyarah dan kakitangan UiTM berkenaan menerima pelbagai anugerah pada majlis itu yang turut dihadiri Rektornya Profesor Madya Dr Zulkifli Mohamed.

Megat Azlani berkata, sebelum ini hasil penyelidikan mereka hanya disimpan bagi kegunaan universiti sahaja sedangkan kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi tujuan itu.

Beliau berkata, pada masa depan, kerajaan mahu kesemua hasil kerja keras penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang akan turut memberi manfaat kepada masyarakat terutama penduduk di luar bandar yang memerlukannya.

Sebagai contoh katanya, projek penyulingan air di Pantai Senok, Bachok oleh sebuah universiti awam dengan menyuling air laut sebagai air minuman sepatutnya dikomersialkan ketika berlaku situasi darurat seperti digunakan oleh penduduk pada musim banjir. - Bernama

Artikel Berkaitan: