Taman tema air pertama di Langkawi dibuka

Taman tema air 'Splash Out' bernilai RM60 juta mula dibuka hari ini.
Taman tema air 'Splash Out' bernilai RM60 juta mula dibuka hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Taman tema air 'Splash Out' bernilai RM60 juta yang mula dibuka hari ini menjadi produk pelancongan terbaharu di Pulau Langkawi.

Berkonsepkan magis dan fantasi dengan rekaan seni bina pantai klasik, taman tema yang dimiliki syarikat tempatan, Halim Mazmin Group muncul sebagai taman tema pertama di pulau terkenal itu.

Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Halim Mohammad berkata, pembukaan taman tema itu dilihat tepat pada masanya untuk merancakkan lagi ekonomi di pulau bebas cukai yang sudah lama tidak menghasilkan produk baharu itu.

"Selepas lebih 20 tahun terlibat sektor pelaburan di Langkawi, saya lihat sudah tiba masanya kita membuat sesuatu yang baharu dan pembukaan taman tema air ini bertepatan sekali kerana kalau kita lihat perkhidmatan ini antara yang menjadi tarikan di seluruh dunia.

"Jadi saya harap sumbangan ini (pembukaan taman tema air) akan membantu meningkatkan lagi taraf Langkawi sebagai kawasan pelancongan di Asia.

"Malah saya juga bertekad untuk terus bekerjasama lebih rapat dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri untuk membantu mempromosikan pulau ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran Splash Out Langkawi di sini hari ini.

Halim ketika menyempurnakan pra pelancaran Splash Out Langkawi hari ini.
Halim ketika menyempurnakan pra pelancaran Splash Out Langkawi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara keseronokan yang ditawarkan kepada pengunjung di taman tema seluas kira-kira 4.8 hektar itu terdiri daripada 12 permainan menarik dan mencabar mengikut kesesuaian umur.

"Selain itu kemudahan lain yang disediakan adalah gerai makanan, kedai cenderamata dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Halim turut memberitahu, pembukaan taman tema air itu turut membuka peluang pekerjaan kepada 120 anak tempatan.

"Taman tema ini dikendalikan oleh 120 kakitangan yang rata-ratanya anak tempatan yang telah terlatih dengan aktiviti di air.

"Kesemua mereka telah menjalani latihan kemahiran selama enam bulan untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kerana operasi kita menetapkan utamakan keselamatan," katanya.

Halim berada di Taman tema air 'Splash Out' sempena pembukaan hari ini.
Halim berada di Taman tema air 'Splash Out' sempena pembukaan hari ini.

Menurutnya, beliau juga bercadang untuk menjemput Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyempurnakan pembukaan secara rasmi taman tema air itu Mac tahun depan.

Sementara itu, Halim berkata, taman tema air itu juga memperkenalkan perkhidmatan tanpa tunai sepenuhnya.

"Pengunjung yang datang perlu tambah tunai secara dalam talian menggunakan bar kod yang disediakan," katanya.

Katanya, bayaran kemasukan bagi dewasa RM75, kanak-kanak RM55 manakala warga emas RM40.

"Kita juga berikan diskaun sebanyak 50 peratus kepada pengunjung yang terdiri daripada anak tempatan Langkawi," katanya.