Semai semangat perpaduan rakyat Malaysia

Cheng Kang menyampaikan ucapan pada majlis Sweat & Shoot Sukan Tanpa Diskriminasi di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
Cheng Kang menyampaikan ucapan pada majlis Sweat & Shoot Sukan Tanpa Diskriminasi di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Sukan Tanpa Diskriminasi bertujuan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia melalui acara sukan.

Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang berkata,rakyat Malaysia tidak pernah berkira untuk memberi sokongan kepada atlet daripada pelbagai kaum dan agama yang berada di gelanggang sukan.

Menurutnya, sukan bukan sahaja menyihatkan malah mempunyai kompetensi untuk memperkasakan perpaduan rakyat.

"Lihatlah ketika Lee Chong Wei dan Nicole David bertanding, siapakah yang berada di depan televisyen dan terus memberi sokongan. Kita semua yang berada dalam Malaysia. Kitalah Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Katanya, sikap prejudis menjarakkan hubungan di antara kaum di negara ini.

"Mungkin ramai yang berpendapat bahawa, bola sepak itu untuk Melayu, bola keranjang ialah sukan orang Cina tetapi sebenarnya tidak. Semua ini prejudis yang menjarakkan kita.

"Tapi apa yang menyebabkan kami berpendapat sebegitu, saya rasa, cuma kami tidak berpeluang untuk menyertai sukan yang lain. Jadi kami mengadakan pertandingan bola sepak dan bola keranjang hari ini untuk mewujudkan peluang supaya rakyat Malaysia boleh bergaul dan melibatkan diri dalam sukan-sukan yang jarang kita sertai," katanya.

Menurutnya, bulan kemerdekaan yang lalu pihaknya berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Sinar Harian dalam kempen 'Bersama Berbeza'.

Artikel Berkaitan:

"Kami berkongsi artikel bagi memperkasa pemahaman antara dua golongan pembaca yang terdiri daripada pembaca Bahasa Malaysia dan pembaca Bahasa Cina, melalui sudut pandangan yang berbeza.

"Kedua-dua pejabat akhbar ini juga telah bekerjasama untuk menerbitkan klip video dan telah menerima sambutan yang baik.

"Justeru, kempen 'Sukan Tanpa Diskriminasi' meneruskan cita-cita kempen 'Bersama Berbeza', kami berhasrat menyumbang usaha sebanyak mungkin bagi memupuk semangat perpaduan dalam negara kita," katanya.