Persatuan Farmasi sambut baik hasrat KKM

Amrahi Buang
Amrahi Buang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi menyambut baik hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) yang bersedia meneliti cadangan bagi menetapkan satu penanda aras untuk harga ubat serta bekalan farmasi pada masa hadapan.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, pihaknya juga bersedia untuk dipanggil bagi mengadakan perbincangan berhubung perkara itu kerana realitinya sesuatu mesti dilakukan dan mekanismenya perlu ada sama ada bagi jangka masa pendek ataupun panjang.

"Untuk jadikan perkara ini satu realiti tentunya banyak perkara perlu diberikan perhatian. Kalau fokus harga ubat sahaja ia tidak akan selesaikan masalah kerana masalah kita sebenarnya adalah sistem iaitu satu sektor awam dan swasta, ibarat air dengan minyak tidak boleh bersatu.

"Bila keadaan begini, buat apa-apa pun tidak boleh hendak selaras, jadi kita kena integrasikan sistem terlebih dahulu. Kita hendak semua orang boleh akses sama ada kerajaan ataupun swasta, adanya satu skim seperti insurans kesihatan negara dan hanya dengan benda-benda begini sesuatu kawalan atau perlaksanaan akan lebih berkesan.

"Saya juga tidak bersetuju dengan persepsi kalau ada duit pergi swasta, itu menunjukkan sistem yang ada di negara kita tidak integrasi, macam dua darjat. Siapa yang mampu pergi swasta dan kurang berkemampuan pergi kepada kerajaan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kerajaan juga perlu wujudkan satu undang-undang kepada semua yang terlibat dalam rantaian nilai supaya adanya satu ketelusan.

"Banyak negara seperti Taiwan, Africa Selatan dan Thailand, rakyat di negara tersebut mengetahui tentang harga ubat, semua boleh tahu, tapi dekat Malaysia jadi pelik. Jadi perlunya undang-undang, kalau tidak kita takkan tahu berapa harga ubat di peringkat seperti pengilang, pengedar atau pembekal.

"Harga kepada pengguna berbeza-beza, kerajaan sebenarnya boleh berunding dengan pihak-pihak terlibat. Tiada sesiapa yang waras minta dirinya sakit, apabila sakit keperluannya tentulah ubat dan ubat ini bukan barang komoditi atau dagangan yang harus diraih keuntungan," katanya.

Artikel Berkaitan: