Hebatkan kaedah pupuk rasa cinta tanah air

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol
A
A
A

PERMATANG PAUH - Kerajaan harus perhebatkan semangat dan rasa cinta kepada negara melalui pelbagai kaedah termasuk kempen dan slogan di semua peringkat selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memperlekeh dan mencabar kedaulatan institusi raja-raja.

Ketua AMK Permatang Pauh Fahmi Zainol berkata, pihaknya mengecam dan mengutuk keras tindakan beberapa individu yang gopoh dan tidak menghormati langsung institusi beraja dalam negara kita.

“Peletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 mengejutkan rakyat negara kita dan masa sama pelbagai respons yang timbul sejak peristiwa bersejarah tersebut positif mahupun negatif.

“AMK mengutuk dan mengecam sekerasnya individu atau pihak yang dilihat langsung tidak ada rasa hormat terhadap institusi beraja ini dan mengeluarkan tohmahan yang sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurutnya, institusi beraja perlu sentiasa diperkukuh dan dihormati oleh semua rakyat kerana ia lambang kedaulatan negara.

“Sepatutnya rakyat perlu memahami adab dan struktur pemerintah negara. Peristiwa sesetengah individu yang melontarkan komen negatif yang saya gelarkan 'penderhaka abad ke-20' perlu dipandang serius dan hukuman keras perlu dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

“AMK Permatang Pauh juga menyarankan kerajaan sedia ada untuk memikirkan kaedah yang lebih berkesan bagi menyerapkan rasa cinta pada negara khususnya memahami secara mendalam institusi pemerintah negara," katanya.

Menurutnya, sikap negatif dari sebahagian rakyat sebenarnya berpunca daripada kurangnya perasaan cintakan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyarankan supaya pelbagai kempen dan program diperhebat di setiap peringkat dan di seluruh pelosok tanah air,” katanya.