Letusan di White Island: Penyelam cari dua lagi mayat

Usaha mencari dua lagi mayat diteruskan di sekitar kawasan White Island hari ini. - Foto: AFP
Usaha mencari dua lagi mayat diteruskan di sekitar kawasan White Island hari ini. - Foto: AFP
A
A
A

WELLINGTON - Pasukan penyelam meneruskan usaha mencari dua mangsa yang dilaporkan masih hilang lima hari selepas letusan gunung berapi di White Island, New Zealand hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, John Tims berkata, kru penyelam terbabit berdepan 'keadaan unik dan mencabar' berikutan penglihatan mereka berada antara sifar dan dua meter.

"Mereka memberi tumpuan pada kawasan penemuan satu mayat terapung pada awal minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Jacinda Ardern memaklumkan satu upacara bertafakur selama satu minit akan diadakan pada jam 2.11 petang (waktu tempatan) pada Isnin ini untuk memperingati mangsa yang terkorban.

"Kita boleh menzahirkan rasa sedih bersama terhadap mereka yang maut dan cedera. Selain memberikan sokongan kepada keluarga dan rakan mangsa," katanya.

Sekurang-kurangnya 16 maut manakala 28 masih dirawat di hospital di New Zealand dan Australia yang mana 21 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Terdahulu, saintis yang memantau keadaan di pulau itu memberitahu tiada lagi ancaman letusan susulan namun risikonya masih kekal.

"Kiraan baharu mereka menunjukkan 35-50 peratus letusan susulan mungkin akan berlaku," kata pengkaji model dan risiko vulkanik, Natalia Deligne.

Artikel Berkaitan:

Semalam, enam mayat mangsa ditemukan dalam operasi 'berani mati' yang dilancarkan tentera elit bersama dua helikopter. - Agensi