Selangor sasar saingan peringkat Asia

Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkenan merasmikan jersi ketiga pasukan Selangor pada Majlis Pengenalan Pemain Red Giants 2020 sempena Hari Bolasepak Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini. -Foto Bernama
Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkenan merasmikan jersi ketiga pasukan Selangor pada Majlis Pengenalan Pemain Red Giants 2020 sempena Hari Bolasepak Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk layak ke saingan peringkat Asia pada 2021 menerusi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang dijangka bermula hujung Februari depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sasaran itu berikutan skuad Red Giants telah mengatur beberapa strategi dianggap 'strategik' tahun ini bagi mengatasi kelemahan untuk menghadapi saingan tahun depan.

Tambah beliau, berbekalkan barisan pemain utama yang dikekalkan dan ditambah penyertaan enam pemain baharu untuk saingan Liga-M 2020, pasukan Merah Kuning kini lebih bersedia untuk 'menyahut' sebarang perlawanan yang mampu melayakkan mereka hingga ke saingan peringkat Asia.

"Tahun ini kita ‘signed’ pemain yang strategik untuk mengatasi aspek kelemahan pasukan. Kita sahut cabaran penyokong (untuk mencapai peringkat yang lebih membanggakan).

"Dengan kekuatan pasukan sedia ada ditambah enam pemain baharu yang mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri, kita lihat skuad Selangor kini lebih lengkap," katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain Selangor 2020 di sini hari ini.

Berangkat ke majlis pengenalan pemain itu ialah Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Enam pemain baharu FAS yang diperkenalkan hari ini ialah Nor Hakim Hassan, Safuwan Baharudin, Nicholas Swirad, Brendan Gan, Rodney Celvin dan Tauffiq Ar Rasyid.

Pasukan Selangor menduduki tangga ketiga Liga-M bagi musim 2019 dengan mengumpul 37 mata di belakang Pahang dan Johor Darul Takzim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan melihat sasaran pengurusan FAS untuk pasukan layak ke saingan peringkat Asia adalah realistik memandangkan barisan pemain untuk musim 2020 mempunyai kaliber tersendiri.

"Sebagai jurulatih, saya sahut sasaran itu. Ia dilihat realistik di bawah pengurusan (FAS) yang baharu. Daripada pengalaman saya pada musim lepas, tiada pasukan yang dikatakan lemah. Prestasi sama dan saya rasa sasaran itu tepat pada masanya," katanya. -Bernama