X

Kindly register in order to view this article
!

2020 tahun mencabar PH tunai janji: Guan Eng

Guan Eng (tengah) sedang melihat video dari Perpustakaan Digital Butterworth dalam lawatannya hari ini.
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memulakan usaha pada tahun depan dalam menunaikan 40 peratus lagi janji yang dibuat menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bermula tahun depan kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan semua janji terlaksana sebelum 2023.

Menurutnya, tahun depan merupakan tahun mencabar bagi PH kerana perlu berusaha keras untuk melaksanakan janji-janji sebelum ini.

"Kerajaan akan berusaha keras bermula tahun depan untuk memastikan semua janji dalam manifesto PH dilaksanakan. Mengikut kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan telah menunaikan janji sebanyak 60 peratus.

"Oleh itu, kita masih ada 40 peratus lagi yang perlu dilengkapkan. Kita perlu mula kerja pada tahun 2020 untuk memastikan semua janji ditunaikan sebelum 2023," katanya pada sidang media di sini tadi.

Guan Eng bagaimanapun enggan mendedahkan senarai janji yang akan mula dilaksanakan pada tahun depan.

"Saya ingin menyatakan bahawa ini (usaha melaksanakan janji) secara am. Tidak mahu (pergi) lebih spesifik kerana jika saya kata akan dimulakan dengan projek satu, nanti ada yang soal, mengapa bukan dua dahulu dibuat.

"Bagaimanapun rakyat boleh lihat, banyak janji yang kita telah buat antaranya hapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengurangkan harga petrol dari RM2.20 kepada RM2.08.

"Kita juga memberi pas bulanan sebanyak RM100 kepada pengguna LRT di ibu negara dan RM50 kepada pengguna bas di Pulau Pinang. Ini memberi penjimatan berganda kepada rakyat. Selain itu, kerajaan PH juga melaksanakan pengisytiharan harta termasuk ahli Parlimen," katanya.

Katanya, beliau berharap agar iltizam 'bersih' mendapat sokongan daripada rakyat dalam membantu kerajaan menjalankan pentadbiran yang bersih dan akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Sebelum ini, Mahathir yang juga Pengerusi PH meletakkan anggaran bahawa PH telah menunaikan 60 peratus daripada janji manifestonya setakat ini.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan melawat Perpustakaan Digital Butterworth yang memasuki fasa terakhir untuk disiapkan sebelum dibuka kepada orang ramai pada Februari tahun depan.

Perpustakaan yang menelan belanja RM7 juta itu merupakan perpustakaan digital pertama di kawasan Seberang Perai yang akan dibuka pada jam 8 pagi hingga 7 malam setiap hari.