Meninggal dunia selepas 15 hari bertarung nyawa

Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk di bahagian hadapan selepas merempuh motosikal arwah di lokasi. Keadaaan motosikal ditunggangi arwah yang rosak teruk. - Foto IPD Marang (Gambar kecil: Mohd Zain)
Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk di bahagian hadapan selepas merempuh motosikal arwah di lokasi. Keadaaan motosikal ditunggangi arwah yang rosak teruk. - Foto IPD Marang (Gambar kecil: Mohd Zain)
A
A
A

MARANG - Selepas hampir 15 hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, seorang warga emas yang parah akibat kemalangan di Simpang 4 Jalan Kelulut, Kampung Kelulut di sini meninggal dunia pagi semalam.

Mangsa, Ramli Abdullah, 69, dari Kampung Kelulut, yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia pada jam 6.48 pagi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang pada 29 November lalu, motosikal ditunggangi arwah dilanggar sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, pemandu kereta yang juga seorang peniaga itu dalam perjalanan dari arah Kampung Rhu Muda untuk pulang ke rumahnya di Taman Rahmat, Pulau Kerengga di sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, arwah yang menunggang motosikal jenis Modenas Kristar MN110R dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang Jalan Bukit Kecil menyeberang Jalan Kelulut 5 difahamkan untuk memasuki simpang Jalan Kelulut 2.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal ditunggangi arwah di bahagian sisi kanan.

"Rempuhan itu mengakibatkan arwah mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan manakala pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohd Zain mengingatkan orang ramai terutamanya nelayan di daerah ini supaya tidak turun ke laut semasa musim tengkujuh berikutan keadaan angin kencang dan laut bergelora di perairan pada ketika ini, dikhuatiri membahayakan keselamatan mereka.

Beliau berkata, meskipun kesemua nelayan diakui berpengalaman luas dan biasa dengan langkah keselamatan ketika di laut, namun, mereka masih terdedah kepada bahaya ketika keadaan cuaca tidak menentu dan langkah waspada perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

”Cuaca tidak menentu sekarang dan keadaan angin kencang serta laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, bot kecil dan rekreasi termasuk menangkap ikan.

"Saya tidak mahu tragedi di Muara Kuala Dungun, Dungun pada 7 Disember lalu yang mana seorang nelayan dikhuatiri lemas manakala dua rakannya selamat selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak berlaku di sini.

”Justeru, dinasihatkan kepada semua orang ramai terutamanya para nelayan supaya peka dengan arahan dan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai keadaan terkini cuaca sekali gus menjauhi aktiviti di kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.