Dua lelaki dicekup bersama dadah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

NILAI - Dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 40-an ditahan kerana memiliki dadah seberat 22.8 gram dalam serbuan ke atas sebuah apartmen di sini pada jam 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, penahanan kedua-dua suspek berkenaan adalah hasil risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.

Beliau berkata, hasil serbuan berkenaan, pihaknya merampas 21 peket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis heroin dengan anggaran berat 17.6 gram dan syabu seberat 5.2 gram yang keseluruhannya bernilai RM1,850.

“Hasil ujian saringan urin ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah manakala hasil soal siasat pula mendapati suspek pertama mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki di kawasan Ampang, Kuala Lumpur.

“Berikutan itu, permohonan reman akan dibuat ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Seremban hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: