4,500 guru bakal sertai Program Duta Guru, tingkat KBAT

Maszlee (dua dari kanan) merasmikan Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto Bernama
Maszlee (dua dari kanan) merasmikan Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 4,500 guru di seluruh negara disasarkan bakal menyertai 'Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Yayasan Petronas' bagi mempertingkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, seiring dengan perubahan negara ke arah Revolusi Industri 4.0, program itu juga bertujuan menjadikan bidang berkenaan sebagai asas sebuah negara yang berdaya saing menerusi penerapan teknik Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam penyampaian STEM kepada 3.9 juta pelajar menjelang 2030.

"Guru-guru kini dipertanggungjawabkan untuk melahirkan minat dan kecekalan dalam kalangan pelajar terutamanya bidang STEM. Oleh itu, tenaga pengajar yang berhadapan dengan para pelajar setiap hari harus diberi sokongan lestari.

"Para guru yang menyertai program ini akan diterapkan ke dalam satu komuniti pembelajaran profesional (PLC) dan dipupuk untuk menjadi teladan guru teladan kepada rakan sekerja mereka.

"Program Duta Guru ini akan terus memperkukuhkan kemahiran guru bagi meningkatkan mutu dan impak penyampaian STEM di sekolah-sekolah awam, terutamanya sekolah-sekolah yang majoriti pelajar terdiri daripada keluarga B40," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini.

Maszlee berkata, melalui program itu, ia dapat melengkapkan guru-guru STEM menjadi pendidik yang lebih berpengetahuan serta berkemahiran tinggi dalam bidang itu pada masa hadapan.

"Mahu tidak mahu, kita perlu akui dan sedar bahawa masa berubah. Pendidikan sendiri ialah progres berterusan mengikut waqi’ (suasana) zaman. Dengan kepesatan digital yang tidak terkejar hari ini, menguasai STEM ialah alat pendidikan di masa depan yang sangat perlu dan tepat.

"Justeru, saya sangat percaya program yang mengukuhkan kemahiran dan kebolehan guru sebegini akan menjadi salah satu anjakan untuk kita terus memartabatkan profesion guru sebagai suatu profesion pilihan," katanya ketika berucap.

Artikel Berkaitan:

Seramai 150 guru telah dipilih untuk menyertai program itu bagi kelompok pertama yang akan bermula pada Januari 2020 dan mendapat latihan kemahiran dan pedagogi selama dua tahun untuk memperkasakan KBAT.

Yayasan Petronas merupakan cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dengan misi untuk menyumbang terhadap kesejahteraan masyarakat, mempertingkatkan kualiti kehidupan dan hasil sosioekonomi komuniti menerusi pelbagai bidang fokus yang antaranya merangkumi pendidikan dan alam sekitar. - Bernama