Presiden BAM nafi pemain muda 'bernasib baik' di Filipina

Dari kanan: Zii Jia, Kisona, Wooi Yik dan Aaron menunjukkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2019 di Filipina. - Foto BAM
Dari kanan: Zii Jia, Kisona, Wooi Yik dan Aaron menunjukkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2019 di Filipina. - Foto BAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menafikan pemain muda ke Sukan SEA Filipina yang berjaya meraih tiga pingat emas atas sebab mereka ‘bernasib baik’.

Beliau berkata, kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menerusi ‘Surat Terbuka Kepada Menteri Belia dan Sukan’ yang menyifatkan pemain negara ‘bernasib baik’ kerana pemain terbaik Indonesia dan Thailand tidak menyertai acara individu adalah tidak adil.

“Bagi saya, adalah tidak adil dengan komen-komen sedemikian kerana rata-rata bila kita melihat prestasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda badminton ini adalah sangat membanggakan.

"Untuk seseorang mengatakan bahawa negara-negara lain tidak menghantar pemain-pemain ternama mereka, perkara itu boleh kita nafikan kerana kita melihat Praveen Jordan dan pasangan serta pemain-pemain penting seperti Jonatan Christie (Indonesia) juga ada di Manila," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-17 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Norza menyifatkan kenyataan Zolkples itu sebagai suara sumbang yang tidak perlu dipedulikan oleh persatuan mahupun pemain muda yang berjaya memungut tiga emas biarpun sasaran hanya dua pingat emas diletakkan BAM.

“Contohnya, bila kita melihat persembahan S Kisona, beliau dalam senarai teratas dan kalau kita lihat, Indonesia juga menghantar pemain teratas Ruselli Hartawan.

"Jadi, saya fikir ini tidak adil dan saya merasakan bahawa ini merupakan suara-suara sumbang yang tidak perlu ada dalam pada kita semua bekerja secara sukarela untuk menaikkan martabat sukan negara kita," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: