Pemain Selangor pulang Sukan SEA hilang keyakinan

Muhammad Mukhairi Ajmal antara pemain Selangor yang beraksi di Sukan SEA.
Muhammad Mukhairi Ajmal antara pemain Selangor yang beraksi di Sukan SEA.
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mendedahkan pemain kelab itu yang mewakili negara ke Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini bagaikan hilang motivasi selepas skuad Harimau Muda gagal melangkah jauh terkandas pada peringkat kumpulan.

Menurut Cheng Hoe, barisan kejurulatihan Selangor dan pemain senior membantu dengan memberikan semangat dan kata-kata positif untuk memulihkan keyakinan mereka.

"Seperti pemain yang baru pulang daripada Sukan SEA, mereka perlu dapat keyakinan semula dan juga daripada segi mental dan psikologi mereka pelu bersedia.

"Kalau kita lihat pencapaian di Sukan SEA kurang memberangsangkan dan ia sedikit sebanyak menjejaskan psikologi mereka.

"Kami barisan kejurulatihan dan pemain senior sentiasa memberikan kata-kata positif kepada pemain muda tersebut untuk pulihkan keyakinan mereka," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Skuad B-22 negara gagal memenuhi sasaran untuk layak ke perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja selepas terkandas di saingan peringkat kumpulan.

Harimau Muda menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan jumlah enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam.

Enam pemain Selangor berada dalam senarai pasukan tersebut iaitu Muhamad Syahir Bashah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Ruventhiran, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mahu para pemainnya bangkit melakar kemenangan ke atas Perak selepas tewas kepada Sabah bulan lepas sebelum aksi Liga Super berhenti rehat.

"Perlawanan yang kita perlu bangkit semula selepas kekalahan kepada Sabah. Namun, kami perlu berhati-hati kerana pasukan Perak ini apabila bermain di laman sendiri mereka sangat bersemangat.

"Mereka juga telah menang dengan Kelantan, jadi kami perlu bermain dengan baik dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.