X

Kindly register in order to view this article
!

Pembentangan buku pencapaian KPM 2019 perlu dicontohi: NUTP

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menunjukkan buku pencapaian Kementerian Pendidikan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan buku pencapaian Kementerian Pendidikan (KPM) oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu dicontohi kementerian-kementerian lain.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pembentangan berkenaan membuktikan kerja kuat KPM selama ini khususnya dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian kepada rakyat.

"Terlebih dahulu, tahniah atas inisiatif dan kejayaan mereka membentangkan laporan kad (buku pencapaian) tersebut yang berdasarkan kepada lima fokus utama iaitu bagi mengembalikan cinta ke dalam pendidikan orang kurang upaya, B40, murid, guru dan kualiti pengajaran serta pembelajaran.

"Bagaimanapun, daripada lima fokus itu, kita cuma nak sebut dua perkara berkaitan 50 peratus beban guru berjaya dikurangkan. Bagaimanapun, dari segi ini(buku pencapaian), ia tidak memberikan impak besar, malah pihak KPM ada menyediakan tiga fasa melibatkan fasa jangka pendek, fasa jangka sederhana dan fasa jangka panjang untuk membantu mengurangkan beban tugas guru.

"KPM dapat jalankan usaha secara lebih agresif untuk kurangkan beban tugas guru. Kita mahu guru-guru ini mula teroka perkara lebih besar bukan buat tugas-tugas pengkeranian," katanya bagi mengulas berhubung pembentangan kad pencapaian KPM hari ini.

Selain pembentangan kad pencapaian KPM 2019 yang bertemakan 'Pendidikan Untuk Semua', Maszlee turut menyempurnakan Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM tumpu lima fokus utama: Dr Maszlee

Sementara itu, Aminuddin berharap agar pihak KPM juga dapat membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi guru terutamanya melibatkan emosi.

Katanya, penyelesaian masalah sedemikian dilihat penting dalam usaha memberikan motivasi, sekali gus meningkatkan mutu kerja guru.

"Masalah emosi seperti terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing perlu diselesaikan. Ini amat penting dalam tugas mereka.

"Bila selesai, ia boleh meningkatkan mutu kerja khususnya dalam aspek pembelajaran dan pengajaran, aktiviti ko-kurikulum dan mereka (guru) boleh fokus kepada kerja profesional masing-masing, sekali gus guru-guru yang bermotivasi mampu membantu KPM menjayakan kelima-lima fokus tersebut pada masa hadapan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus