Hakam sambut baik keputusan Pejabat Peguam Negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) hari ini menyambut baik keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tidak membuat rayuan kepada penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penafian ikat jamin mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berperlembagaan.

Setiausaha agungnya, Lim Wei Jiet dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seksyen 13 SOSMA adalah tidak mengikut Perlembagaan kerana ia mengenepikan kuasa kehakiman pihak mahkamah yang membentuk struktur asas Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana ditetapkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd vs Pejabat Tanah Hulu Langat dan Indira Gandhi vs Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

“Ia juga tidak boleh diterima kerana ia melanggar konsep asas bahawa yang tertuduh adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, Hakam menyokong pemerhatian Peguam Negara yang melihat bahawa menolak Seksyen 13 SOSMA tidak bermakna bahawa ia akan menjejaskan keselamatan orang ramai kerana ikat jamin masih boleh dinafikan oleh seorang hakim sekiranya terdapat bukti yang mencukupi bahawa yang tertuduh boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai, sama seperti lain-lain kes jenayah.

"Hakam percaya kepada kebijaksanaan mahkamah untuk menjalankan budi bicara sedemikian berhubung ikat jamin secara penghakiman bagi menampilkan keseimbangan yang sesuai antara hak yang tertuduh dengan keselamatan orang ramai.

"Akhir sekali, Hakam mengulangi gesaannya kepada kerajaan untuk memenuhi janji manifestonya untuk membubarkan SOSMA sepenuhnya,” kata Wei Jiet.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan yang sependapat berkata, berdasarkan Seksyen 13 itu, seseorang yang dituduh di mahkamah dengan mana-mana ‘kesalahan keselamatan’ tidak boleh dijamin melainkan sekiranya tertuduh di bawah umur, seorang wanita atau seorang yang sakit atau uzur.

"Prinsip pemisahan kuasa bermakna kuasa kehakiman ini tidak boleh dibatalkan atau dipinda melalui undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Keputusan itu telah memastikan hak tertuduh yang dibicarakan di bawah SOSMA untuk memohon ikat jamin tidak dinafikan secara mutlak dan mengembalikan bidang kuasa serta budi bicara mahkamah dalam menentukan sama ada tertuduh boleh diikat jamin.

Artikel Berkaitan:

“Ia sudah tentu akan memberi impak besar kepada tertuduh-tertuduh yang dibicarakan di bawah SOSMA selepas ini,” kata Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang. - Bernama