Tun Mahathir lawat syarikat tenusu Qatar

Dr Mahathir (tengah) menandatangani buku lawatan ketika hadir melawat Ladang Baladna hari ini. Turut kelihatan, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar Ali Ahmed Al Kuwari (dua,kiri). -Foto Bernama
Dr Mahathir (tengah) menandatangani buku lawatan ketika hadir melawat Ladang Baladna hari ini. Turut kelihatan, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar Ali Ahmed Al Kuwari (dua,kiri). -Foto Bernama
A
A
A

DOHA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat syarikat pengeluar susu terbesar Qatar, Baladna Food Industries (Baladna) hari ini.

Dalam lawatannya kira-kira dua jam, Perdana Menteri diberi taklimat oleh Anggota Lembaga dan Pengarah Urusan Baladna, Ramez Al-Khayyat, serta dibawa melawat operasi syarikat itu yang merupakan salah satu ladang ternakan lembu terbesar di negara Asia Barat, dengan keluasan menjangkau lebih 2.4 juta meter persegi.

Turut mengiringi perdana menteri dalam lawatan itu adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Pada 10 Oktober lepas Felcra Bhd dan Baladna Food Industries menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur, yang disasar bagi penubuhan ladang tenusu terbesar Malaysia dalam tempoh dua tahun, selaras dengan Dasar Keselamatan Makanan Nasional negara.

Pengerusi Felcra Datuk Mohammad Nageeb Abdul Wahab dilaporkan berkata di bawah kolaborasi itu, dua syarikat berkenaan menyasarkan pengeluaran 50 juta liter susu menjelang tahun 2021, di samping telah mengenal pasti lima lokasi di zon utara dan tengah negara, serta di Sabah dan Sarawak bagi tujuan itu.

Di bawah MoU itu Felcra akan menyediakan tanah, manakala Baladna akan membekalkan teknologi di samping ternakan.

Baladna merupakan syarikat pertanian Qatar yang memelihara lembu serta menghasilkan produk-produk tenusu, dan ia merupakan pengeluar tenusu dan makanan terbesar milik Qatar, membekalkan lebih 95 peratus daripada keperluan produk tenusu segar negara.

Diperbadankan pada tahun 2014, jumlah lembu-lembunya telah berkembang pesat, sehingga kini menjangkau jumlah kira-kira 20,000, di dua ladang. - Bernama

Artikel Berkaitan: