X

Kindly register in order to view this article
!

Isu tulisan jawi: KPM tak pinggir peranan LPS

Nie Ching (tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak sempena majlis pelancaran Video Keselamatan Diri My Body is Mine di Kidzania hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak meminggirkan peranan dan pendapat Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) berhubung penggunaan tulisan jawi dalam buku teks bahasa Melayu di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, bagaimanapun kementerian mengutamakan pendapat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah berkenaan sebelum memutuskan sebarang keputusan melibatkan perkara itu.

“Kita akan biarkan PIBG buat keputusan kerana ia berkenaan pembelajaran anak-anak.

"Ibu bapa adalah penjaga kanak-kanak, jadi anda perlu dapatkan persetujuan mereka untuk berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Video Keselamatan Kanak-Kanak My Body Is Mine di sini hari ini.

Nie Ching berkata demikian mengulas mengenai dakwaan LPS yang tidak dilibatkan dalam keputusan sama ada mahu mengadakan pengajaran tulisan jawi di SJK atau sebaliknya.

KPM sebelum ini menetapkan bahawa pengajaran tulisan jawi harus mendapat persetujuan PIBG, ibu bapa dan murid.

Menurut beliau, LPS turut memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran di SJK dan memandang serius sebarang pandangan yang diberikan melibatkan pendidikan.

Sementara itu pelancaran video keselamatan itu bertujuan mendidik anak-anak terutamanya prasekolah mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat kepada tubuh badan mereka.

Video itu bertepatan dengan inisiatif kementerian yang telah memperkenalkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan menerusi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Video bergenre animasi kanak-kanak berdurasi 1 minit 30 saat itu boleh dimuat turun bermula hari ini di dua platform laman web rasmi kementerian www.moe.gov.my dan TV Pendidikan Malaysia eduwebtv.moe.edu.my. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!