Bekalan makanan cukup menjelang Krismas: Salahuddin

Salahuddin (belakang, dua dari kiri) bersama dua penerima bantuan Program Jom ke Sekolah, Mohamad Mukaim Nasir, 10, (depan, kiri) dan Mohd Naufal Adha, 9, anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang turut melibatkan 3,200 penerima di seluruh negara hari ini. - Foto Bernama
Salahuddin (belakang, dua dari kiri) bersama dua penerima bantuan Program Jom ke Sekolah, Mohamad Mukaim Nasir, 10, (depan, kiri) dan Mohd Naufal Adha, 9, anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang turut melibatkan 3,200 penerima di seluruh negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini memberikan jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi di seluruh negara menjelang sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memperoleh data berkaitan dengan permintaan makanan pada musim perayaan itu.

Katanya, pengumpulan dan perkongsian data berkenaan dilakukan ketika musim perayaan utama di negara ini yang mana selain Krismas ianya termasuk Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari Gawai serta Pesta Kaamatan.

“Selain memperoleh data permintaan daripada pengguna, kita juga dapat mengawal harga jualan agar tidak akan ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan pada musim perayaan ini.

“Kerjasama semasa musim perayaan ini kebiasaannya akan kita laksanakan sekitar dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Program Jom ke Sekolah anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Pasaraya Wixon, Jalan Sulaiman di sini.

Mengulas mengenai program itu beliau berkata, ia merupakan program pertama Nafas yang dilaksanakan di seluruh negara dengan memfokuskan golongan B40 yang mana setiap penerima mendapat baucar sebanyak RM200.

Menurutnya, seramai 3,200 penerima mendapat manfaat berkenaan dan mereka akan memilih keperluan yang dikehendaki seperti pakaian sekolah, beg serta kelengkapan alat tulis.

Artikel Berkaitan:

“Perubahan konsep ini dilakukan setelah terdapatnya rungutan daripada penerima sebelum ini berkaitan dengan soal kualiti serta saiz pakaian yang kurang sesuai dengan kehendak masing-masing.

“Di Johor, kita laksanakan di dua tempat iaitu di Muar dan Kulai, kemudian akan diteruskan ke negeri lain yang mana program berbentuk CSR (tanggungjawab sosial korporat) ini dapat menjalin kerjasama daripada pelbagai pihak bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya. - Bernama