Sweat & Shoot platform terbaik bersukan tanpa kira bangsa

Mohd Farreez dan Boon Keong ketika ditemubual wartawan Rosalwani Che Soh pada sesi Sinar Live yang membincangkan mengenai pertandingan Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi di studio Sinar Harian Online, Shah Alam semalam. -Foto Sinar Harian
Mohd Farreez dan Boon Keong ketika ditemubual wartawan Rosalwani Che Soh pada sesi Sinar Live yang membincangkan mengenai pertandingan Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi di studio Sinar Harian Online, Shah Alam semalam. -Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskiriminasi merupakan platform terbaik untuk membuang persepsi bahawa sebahagian acara sukan di negara ini hanya milik kaum tertentu.

Justeru, acara sukan bola sepak yang sering dianggap milik orang Melayu dan bola keranjang bagi orang Cina dipilih penganjur bersama akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Daily dalam program yang akan berlangsung Ahad ini di perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini.

Pengarah programnya, Mohd Farreez Rahmat berkata, keunikan program yang julung kali diadakan itu bukan hanya tertumpu kepada untuk meraih kemenangan semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah mesej perpaduan yang ingin disampaikan melalui acara sukan tersebut.

Katanya, setiap acara sukan di Malaysia adalah milik semua kaum walaupun negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk.

"Mesej sebenar yang ingin kita sampaikan adalah jangan ada diskriminasi. Selama ini kita sering dimomokkan dengan anasir yang tidak sihat (bersifat perkauman).

"Sejak kebelakangan ini kita sering melihat ada tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mencetuskan isu perkauman, jadi Sinar Harian bersama Sin Chew Daily mengambil langkah proaktif untuk menyekat daripada terus tersebar.

"Jadi, kita mulakan dengan kempen ini (Program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskiriminasi)," katanya ketika pada Program Sinar Live Program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskiriminasi di studio Sinar Harian Online di sini semalam.

Menurut Mohd Farreez yang mewakili Sinar Harian, meskipun tempoh persiapan hanya dua minggu namun segala persiapan berjalan mengikut perancangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penyelaras program yang mewakili Sin Chew Daily, Keh Boon Keong berkata, Sin Chew Daily dan Sinar Harian mengambil inisiatif itu untuk 'memecahkan' persepsi bahawa hanya berjuang untuk kaum tertentu sahaja.

Menurutnya, persepsi tidak sihat itu perlu dihentikan segera bagi memastikan ia tidak terus menjalar dalam hati rakyat di negara ini.

"Kita Cina ke, Melayu ke, warna darah kita tetap sama iaitu merah. Jangan sampai satu hari nanti hendak derma darah pun akan dibuat mengikut bangsa.

"Jadi, saya melihat kerjasama antara Sin Chew Daily dan Sinar Harian ini bertepatan dengan usaha untuk kita untuk buang sikap perkauman," katanya.

Katanya, kedua-dua pihak juga tidak menolak kemungkinan program itu bakal dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain agar perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini terus subur.

Dalam pada itu, dianggarkan lebih 2,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,200 itu.

Kejohanan diadakan mengikut format liga satu pusingan dengan lapan pasukan teratas layak ke suku akhir, empat pasukan ke separuh akhir dan seterusnya dua pasukan mara untuk beraksi di gelanggang pentas akhir.