Berbelanjalah ikut kemampuan diri sendiri

No Image Caption
A
A
A

UKUR baju di badan sendiri. Itu saja pesanan yang mahu Merak Jalanan sampaikan kepada setiap pasukan bola sepak tempatan sebelum bermulanya Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan.

Sejak beberapa minggu lalu, apa yang Merak Jalanan lihat, ada pasukan yang mula memancing pemain mahupun sudah membeli pemain baharu.

Ada juga pasukan yang seakan-akan berlumba mahu melamar pemain bertaraf bintang.

Namun, Merak Jalanan hanya mahu nasihat kepada pasukan terbabit – berbelanjalah ikut kemampuan. Jangan terlalu ghairah berbelanja sehingga akhirnya nanti susahkan diri sendiri.

Pada penghujungnya nanti, pemain pula jadi mangsa apabila gaji tak dibayar! Itu yang kita tak mahu dengar. Setiap tahun, ada saja timbul isu masalah gaji pemain.

Bukan sebulan dua, malahan cerita gaji ‘sangkut’ ini berbulan-bulan lamanya. Jika pihak pengurusan pasukan realistik dengan bajet sedia ada, kemungkinan besar isu tunggakan gaji tidak timbul.

Jika diamati betul-betul, apa sebab isu masalah tunggakan gaji pemain seakan-akan tiada kesudahannya. Sebab utamanya, perancangan pengurusan pasukan terbabit tidak betul.

Berbelanja besar tapi sampai terlupa membuat pengiraan sehingga akhir musim.

Artikel Berkaitan:

Bagi Merak Jalanan, pengurusan kewangan yang baik amat penting dalam menguruskan sesebuah pasukan.

Kita kena belanja ikut kemampuan, jangan terlalu asyik mahu mencari pemain bertaraf bintang kalau bajet ‘ciput’.

Bagi pasukan yang ada kantung besar, sudah pasti tak ada masalah. Bagi pasukan yang hanya ada kantung kecil, tak usahlah terlalu mengikut rentak pasukan gergasi itu. Cukuplah sekadar berbelanja ikut kemampuan kantung pasukan.

Kalau rasa tak mampu beli pemain bintang dan bayar gaji tinggi, guna saja khidmat pemain muda yang berpotensi besar untuk menyerlah.

Tak payahlah nak dapatkan khidmat pemain yang bergaji besar jika tak mampu. Setidak-tidaknya, dapat kurang bajet pasukan dan paling penting, gaji dibayar on time!