Guna alat canggih curi kereta mewah!

Mazlan menunjukkan peralatan yang digunakan kumpulan penjenayah untuk mencuri kereta mewah.
Mazlan menunjukkan peralatan yang digunakan kumpulan penjenayah untuk mencuri kereta mewah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Geng Ah Teong yang aktif melakukan jenayah curi kereta sejak Mei lalu tumpas selepas sembilan ahlinya termasuk seorang wanita diberkas dalam operasi minggu lalu.

Ops Lejang yang dilaksanakan pada 25 hingga November dan 2 hingga 4 Disember lalu itu turut melumpuhkan aktiviti curi yang menggunakan peralatan teknologi canggih

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebelum ini polis menerima laporan daripada seorang mangsa berusia 68 tahun yang memaklumkan kenderaan Toyota Vellfirenya yang bernilai RM400,000 dicuri di Taman Bukit Maluri, Kepong, di sini pada 6 November lalu.

“Selepas risikan kita berjaya menahan seorang lelaki di Melaka dan hasil soal siasat seramai lapan individu lain termasuk seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita diberkas di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mazlan berkata, polis turut menemui sebanyak 17 kereta mewah pelbagai jenama bernilai RM5 juta.

“Kita turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan mewah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu ialah mengenal pasti kenderaan mewah yang hendak dicuri dengan menggunakan alat elektronik ‘key programmer’ yang mampu menghidupkan enjin kereta tanpa menggunakan kunci asal.

“Mereka turut menggunakan ‘jammer’ yang menyebabkan sistem GPS kenderaan mewah itu tidak berfungsi sebelum memandu kenderaan itu ke suatu lokasi dan membuat kunci pendua baharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, kumpulan penjenayah itu menyasarkan kenderaan mewah yang diparkir di kawasan terbuka.


Antara kereta mewah yang berjaya dijumpai.
Antara kereta mewah yang berjaya dijumpai.

Menurutnya, jenayah itu dilakukan pada jam 2 hingga 3 pagi manakala tempoh diambil antara lima hingga 10 minit sehingga enjin kenderaan itu berjaya dihidupkan.

"Semakan terhadap kesemua individu yang berusia 25 hingga 53 tahun itu mendapati enam daripadanya termasuk suspek wanita mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Salah seorang daripada mereka dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Mazlan memberitahu, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes iaitu sembilan di Kuala Lumpur, tujuh di Selangor, tiga di Johor serta satu kes di Negeri Sembilan.

“Kita masih mengesan saki baki ahli Geng Ah Teong ini yang dipercayai masih berada di Malaysia. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kumpulan ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.