Lelaki berkelakuan rasis, hina wanita diberkas

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki ditahan pada Isnin selepas rakaman video berkelakuan aib dan mengeluarkan perkataan kesat tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 14 Mei mengenai kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Falim di sini.

Menurutnya, suspek merupakan warga tempatan berusia 42 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 malam pada Isnin di Ampang Baru di sini.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan aib dan dengan tertangkapnya suspek itu, maka kes telah pun diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan polis mahupun mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 18 saat yang dikongsi melalui Twitter itu, seorang lelaki dilihat mengeluarkan kata-kata kesat dan memainkan sentimen perkauman terhadap seorang wanita di dalam sebuah restoran.